Iklan

Tiada hasrat rujuk Umno ke jawatankuasa disiplin BN, kata MCA, MIC

Khoo Gek San3 years ago11th Aug 2021Berita
49936149578 8f3e67c708 c
Umno masih sekutu dan keadaan semasa hanyalah perselisihan dalam parti Melayu yang mereka harus selesaikan sendiri, kata sumber MCA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos 2021.
Iklan

TIADA usaha untuk merujuk Umno kepada jawatankuasa disiplin Barisan Nasional (BN) kerana tidak lagi menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata sumber dalaman MCA dan MIC.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa dua parti komponen itu tidak berhasrat untuk melakukannya ketika ini yang akan menimbulkan lebih banyak kekacauan dalam BN.

Sumber MCA berkata Umno masih sekutu dan keadaan semasa hanyalah perselisihan dalam parti Melayu yang mereka harus selesaikan sendiri.

“Adakah keadaan sekarang tidak cukup huru-hara? MCA belum membuat sebarang cadangan untuk merujuk Umno kepada jawatankuasa displin,” kata pegawai tinggi parti itu.

Sementara itu, pemimpin MIC yang ditemubual The Malaysian Insight juga menolak khabar angin itu sambil berkata “tidak akan ada perkara seperti itu.”

“Apa yang ingin kami tahu adalah, jika Barisan Nasional tidak lagi menyokong perdana menteri, apa yang akan berlaku seterusnya?,” kata sumber MIC.

“Pandemik ini telah mempengaruhi kehidupan kita dan jumlah kematian setiap hari adalah tinggi. Kita harus fokus memeranginya.”

Perbincangan mengenai tindakan disiplin terhadap parti komponen BN muncul setelah majlis tertinggi Umno mengatakan bahawa pihaknya menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan pentadbiran PN.

Terdapat arahan yang mana semua ahli Parlimen diminta menarik balik sokongan mereka terhadap perdana menteri dan sama ada Muhyiddin sekarang tetap memegang jawatannya bergantung pada usul undi percaya yang akan dibentangnya di Parlimen pada bulan September ini.

Empat belas ahli Parlimen dari Umno secara terbuka menyatakan bahawa mereka tidak lagi menyokong PN sementara dua daripadanya – Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad – melatakkan jawatan daripada kabinet Muhyiddin dan akur dengan keputusan Majlis Tertinggi.

Bagaimanapun, pemimpin komponen BN lain seperti Presiden MCA Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC M. Saravanan secara terbuka menyatakan sokongan mereka terhadap Muhyiddin pada pertemuan ahli Parlimen minggu lalu yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – 11 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan