Iklan

Mangsa rogol tuntut polis dedah perkembangan kes

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago11th Aug 2021Berita
Asheeq
Peguam wanita terbabit, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata polis tidak memaklumkan perkembangan kes rogol yang berlaku pada 5 Disember lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2021.
Iklan

SEORANG wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol kepada kenalan Hilman Idham akan memfailkan saman sivil ke atas polis kerana gagal memberi maklumat perkembangan kesnya.

Peguam wanita itu, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, anak guamnya gagal mendapat pengadilan sejak kejadian melibatkan ADUN Gombak Setia itu berlaku pada Disember

“Anak guam saya bukan sahaja tidak mendapat pengadilan malah polis tidak memaklumkan perkembangan kes rogol yang berlaku pada 5 Disember lalu.

“Disebabkan itu, saya mewakili anak guam akan memfailkan saman sivil di mahkamah sekiranya polis gagal memberi maklum balas dalam masa tujuh hari,” katanya.

Beliau tampil bersama mangsa tersebut untuk menyerahkan surat bagi menuntut penjelasan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

“Sebagai pengadu anak guam saya mempunyai hak untuk mengetahui perkembangan kes, dan sembilan bulan adalah tempoh yang terlalu lama untuk satu kes untuk siap siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Asheeq berkata, anak guamnya juga meminta untuk memfailkan saman sivil ke atas semua yang terlibat dalam insiden itu secepat mungkin.

“Surat tuntutan pertama akan dikeluarkan minggu depan kepada semua yang terlibat dan selepas itu kita akan terus dengan tindakan sivil di mahkamah,” katanya.

Wanita tersebut membuat laporan pada 5 Disember yang mendakwa dua kenalan Hilman Idham atas tuduhan merogol.

Salah seorang yang didakwa ialah pemimpin bahagian parti komponen Perikatan Nasional (PN), dan seorang lagi seorang lelaki didakwa sebagai kenalan lama Hilman.

Laporan polis itu didedahkan oleh bekas pemimpin Umno Lokman Adam.

Menurut laporan polis itu, mangsa mendakwa Hilman menjemputnya ke sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk meraikan ulang tahun kelahirannya pada hari Jumaat, 4 Disember.

Wanita itu mendakwa beilau hadir bersama kenalan rapatnya dan dua rakan wanita yang lain.

Selepas makan malam, wanita itu mendakwa mereka kemudian berkaraoke. Wanita tersebut seterusnya mendakwa beliau mabuk selepas minum minuman beralkohol.

Beliau juga mendakwa, rakannya memaklumkan ketua bahagian parti PN itu menyertai mereka ketika mereka masih di bilik karaoke.

Mangsa mendakwa, ingatannya mengenai peristiwa yang berlaku selepas aktiviti karaoke itu samar dan mengesyaki Hilman menolongnya untuk berjalan.

Dakwanya, beliau melihat kenalan Hilman di atas badannya sebelum tidak sedarkan diri.

Menurut laporan polis itu, beliau bangun semula pada jam 4 pagi pada Sabtu, 5 Disember di bilik hotel seorang diri dalam keadaan tidak memakai pakaian dan mengesyaki dirogol.

Beliau kemudian menemui kondom di bilik mandi.

Laporan polisnya menyatakan bahawa beliau membawa barang dari hotel sebagai bukti sokongan untuk kesnya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan mereka sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Kami sudah hantar kertas siasatan kepada Pejabat Pegua Negara namun belum mendapat arahan lanjut untuk tujuan pendakwaan,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 11 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan