Iklan

70 ibu mengandung mati akibat Covid-19, kata Dr Noor Hisham

Ragananthini Vethasalam3 years ago11th Aug 2021Berita
Ibu
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 47% ibu mengandung yang meninggal dunia akibat Covid-19 mempunyai sejarah penyakit kronik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2021.
Iklan

SEBANYAK 70 ibu mengandung meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 tahun ini sahaja, berbanding tiada kematian pada tahun lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kebanyakan kematian berlaku sejak Jun dan meningkat pada Julai, berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Purata dua kes kematian ibu mengandung direkodkan setiap bulan antara Januari hingga Mei, tetapi jumlahnya bertambah mulai Jun, katanya.

“Bagaimanapun, jumlah kes kematian meningkat secara mendadak sejak Jun 2021 yang mana 17 kes dilaporkan. Data menunjukkan bahawa dua daripada kes tersebut mendapat dos pertama vaksin sementara 15 kes tidak mendapat vaksin Covid-19,” katanya.

Sebanyak 29 ibu hamil meninggal dunia pada Julai manakala 17 lagi kematian dicatat sehingga 9 Ogos, tambahnya.

Menurut Dr Noor Hisham, 47% daripada ibu mengandung yang meninggal dunia akibat Covid-19 mempunyai sejarah penyakit kronik.

Kenyataan beliau dikeluarkan dua hari selepas penyanyi Siti Sarah Raisuddin meninggal dunia akibat Covid-19 pada 9 Ogos. Siti Sarah melahirkan anak keempat melalui pembedahan caesar di Hospital Canselor Tunku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia pada Jumaat (6 Ogos).

Siti Sarah bersama suami dan semua anaknya disahkan positif Covid-19 sejak 27 Julai lalu selepas menjalani ujian saringan ketika pembantu rumah mereka disahkan positif. 

Sementara itu, sejumlah 3,396 kes Covid-19 melibatkan ibu mengandung dilaporkan di Malaysia antara Mac 2020 dan Jun tahun ini katanya, dan menambah kira-kira 1% ibu mengandung di Malaysia dijangkiti koronavirus. 

Dr Noor Hisham berkata kes meningkat sejak Oktober 2020, apabiula purata 200 kes dilaporkan dalam sebulan. 

Jumlah itu melonjak kepada 850 kes pada Mei 2021 dan seterusnya 899 pada Jun. 

“Peningkatan kes Covid-19 melibatkan ibu mengandung seiring dengan peningkatan keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata satu dalam 20 ibu mengandung memerlukan rawatan kritikal. 

Jumlah ibu mengandung yang memerlukan rawatan rapi turut meningkat daripada 3% pada 10 Julai kepada 5.3% pada 7 Ogos. – 11 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan