2 pelukis guna cara seni kumpul sumbangan untuk pelarian
Iklan
DUA sahabat Tan Xin Wei dan Ruth Ng Wern Ai berjaya mengumpul hampir RM15,000 dalam masa sebulan untuk komuniti pelarian menerusi jualan lukisan dan seni digital.
Wang tunai akan dapat membantu keluarga pelarian yang mengalami kesukaran dalam berdepan krisis kesihatan dan ekonomi.
Tan, 29, yang bekerja sebagai pelukis ilustrasi bebas, pada mulanya mengumumkan usaha itu pada 25 Jun menerusi akaun Instagram miliknya.
“Saya sedih kerana tidak tahu bagaimana lagi hendak membantu pelarian ini, tetapi berharap dapat menawarkan motivasi kepada orang ramai untuk memberi sumbangan,” katanya.
Kempen itu berjaya mengumpul RM10,020 dengan sejumlah 80 tempahan dibuat oleh orang ramai.
“Masyarakat kita sangat memberi sokongan dan pemurah. Saya belum siapkan lukisan itu, dan masih ada kira-kira 20 lukisan ikon untuk disiapkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Keuntungan daripada lukisan Tan dan Ng akan diberikan kepada kumpulan persatuan sivil, Refuge for The Refugees (RFTR) yang diasaskan aktivis Heidy Quah Gaik Li.
“RFTR selalu dekat di hati saya kerana setiap minggu saya ke sana untuk mengajar kanak-kanak pelarian untuk sesi persekolahan pada Ahad.
“Kanak-kanak itu sama seperti anak-anak kita, penuh inovasi, motivasi, cekal dan rasa ingin tahu.
“Jadi walaupun kini sedang dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pandemik masih berterusan, saya mahu lakukan sesuatu untuk mereka dengan apa yang saya mampu,” kata Tan.
Beliau berkata sokongan bukan saja diterima menerusi tempahan, tetapi apabila ramai yang berkongsi inisiatifnya itu.
“Saya menggalakkan orang ramai mengongsinya dan jangan rasa bersalah jika mereka tidak mampu memberi sumbangan secara kewangan.
“Dan saya fikir kerana itulah, ramai yang berkongsi inisiatif kempen saya dan ramai yang datang membantu dalam pelbagai cara berbeza.
“Seorang pengikut saya di Instagram berkongsi inisiatif itu kepada rakannya dan menderma sebagai hadiah hari jadinya tahun ini,” kata Tan.
Ng, 21, pelajar tahun tiga dari Universiti Nottingham Malaysia melihat inisiatif Tan dan terpanggil untuk melakukan perkara yang sama.
“Saya fikir idea ini sangat bagus. Jika Xin Wei boleh buat, saya pun boleh juga.
“Beliau membuat jalan dan memberi ilham untuk saya melakukan apa yang saya boleh, walaupun hanya pertolongan kecil, saya ingin membantu.
“Saya teringin untuk membuat kutipan derma sebelum ini tetapi tidak pernah benar-benar melakukannya kerana tidak tahu hendak bermula di mana,” kata Ng.
Ng berkata Tan dengan baik hatinya berkongsi sistemnya dan memudahkan Ng untuk memulakan inisiatifnya.
“Saya ikut model Tan dengan menawarkan seni ikon dengan sumbangan minimum RM60.
“Sasaran saya untuk kumpul RM600 seminggu, dan jumlah itu cukup membantu memberi makanan kepada 10 keluarga,” katanya.
Ng mengumumkan kempennya empat hari selepas Tan, dan berjaya mengumpul RM4,940 pada 18 Julai dan dapat membantu membelikan makanan kepada 82 keluarga.
“Secara jujurnya, sepanjang masa itu, saya rasa sedih dengan apa yang berlaku di negara kita.
“Mendengar kadar bunuh diri yang meningkat, kes baharu harian Covid-19 melonjak dan krisis ahli politik, sungguh mengecewakan.
“Daripada fokus kepada tindakan individu yang pentingkan diri, saya memilih untuk berganding usaha dengan mereka yang hendak menolong orang lain,” kata Ng kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata gerakan #kitajagakita dan inisiatif bendera putih juga memberi keyakinan kepadanya ketika harapannya sendiri hampir musnah.
“Walaupun jika usaha kita ini hanya memberi kesan kepada seorang individu saya, ia tetapi berbaloi kerana semua individu berharga,” kata Ng. – 12 Ogos, 2021.