Iklan

Anggota mengamuk di kem TUDM tanya, mahu hidup atau mati

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago13th Aug 2021Berita
150162807 344556157376856 4470395785869308275 n
Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail berkata buat masa ini pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai insiden di TUDM Kota Samarahan di Kuching. – Gambar Facebook, 13 Ogos, 2021.
Iklan

LIMA anggota yang bertugas di pos pengawal Kem Handau Skuadron 33 di Kota Samarahan pagi ini dapat menduga satu perkara buruk akan terjadi apabila ditanya sama ada mahu hidup atau mati.

Sumber mendedahkan, soalan itu diajukan seorang anggota yang muncul secara tiba-tiba dan mencapai senjata api di pos pengawal kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu.

Katanya, anggota berkenan yang sedang menjalani kuarantin Covid-19 itu tiba-tiba muncul ke balai pengawal itu dengan menaiki motosikal kira-kira jam 7.15 pagi.

“Anggota yang berada dalam balai pengawal terkejut juga berikutan suspek baru berada dalam bilik kuarantin dan sebaik masuk ke bilik pengawal.

“Dia mencapai sepucuk senjata jenis Colt M4 Carbine. Lima anggota lain yang berada dalam bilik pengawal terkejut dengan tindakannya dan menegurnya.

“Dia hanya membalas ‘Nak hidup atau mati’, yang menyebabkan semua di situ tergamam. Semua mangsa sudah tahu sesuatu yang buruk akan berlaku dan cuba menenangkannya.

“Namun terlambat kerana dia sudah mula melepaskan tembakan ke arah anggota yang cuba tenangkannya itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sumber mendedahkan, kesemua yang lain kemudian cuba melarikan diri sebaik tembakan pertama dilepaskan namun tembakan rambang mengenai dua lagi anggota.

Suspek kemudian menembak dirinya sendiri sebelum rebah di lokasi kejadian dalam kejadian yang berlangsung kira-kira 15 minit itu.

Tindakannya itu menyebabkan tiga mangsa terkorban – dua yang maut di tempat kejadian dan seorang yang sempat memandu sendiri ke klinik tentera.

Anggota itu meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan akibat kecederaan di perut, katanya.

Ketua Polis Daerah Samarahan Sudirman Kram mengesahkan identiti keempat-empat anggota yang maut dalam kejadian itu.

Mereka terdiri dari Koperal Ho Swee Boon dari Lundu, Koperal Mohamad Ehsan Sehamat dari Asajaya, Laskar Udara Luk Nesly Nabau dari Sibu dan Koperal Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli dari Kuching.

Difahamkan, mayat semua anggota terbabit dihantar ke Unit Forensik, Hospital Umum Sarawak di Kuching untuk tindakan lanjut. – 13 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan