Covid-19: 277 kes kematian, 96 di luar hospital
Iklan
MALAYSIA merekodkan 277 kes kematian dalam tempoh 24 jam, dengan 96 daripadanya adalah kematian luar hospital, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Ketua pengarah kesihatan berkata jumlah kes kematian baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 11,968.
Junmlah kes aktif turut mencecah 241,187 hari ini, peningkatan buat hari ke 49 berturut-turut.
Daripada jumlah itu, 1,075 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 537 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 17,025 kes pulih turut dilaporkan berbanding 21,468 kes jangkitan baharu.
Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di seluruh negara kini 1,363,683 manakala jumlah keseluruhan kes pulih 1,110,528.
Selangor merekodkan kes kematian tertinggi 108 kes, diikuti Kuala Lumpur 66 kes, Johor 26, Negeri Sembilan 18, Sabah 15, Kedah 14 dan Melaka 11 kes.
Pulau Pinang merekodkan enam kes kematian, Kelantan lima, Pahang dua manakala Perak dan Terengganu masing-masing merekodkan tiga kes kematian.
2,703 atau 12.6% kes positif hari ini melibatkan mereka yang menerima dua dos vaksin. Majoriti mereka (1,496 kes) adalah dalam Kategori 2 atau bergejala ringan, manakala 1,139 tidak bergejala.
23 pesakit dalam keadaan kritikal dalam Kategori 5, manakala 24 kes dalam Kategori 4 dan 21 Kategori 3.
Bagi yang belum menerima vaksin, 8,817 kes dalam Kategori 1, 9,346 dalam Kategori 2 dan 183 dalam Kategori 3.
Bagi tahap jangkitan lanjut, terdapat 171 kes di Kategori 4 dan 248 di Kategori 5.– 13 Ogos, 2021.