Iklan

Sukar ahli Parlimen Umno memberontak pertahan kerusi pada PRU15, kata penganalisis

Chan Kok Leong3 years ago14th Aug 2021Berita
Umno
Kebanyakan kerusi yang disandang ahli Parlimen Umno adalah milik parti yang majoritinya terdiri daripada pengundi Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2021.  
Iklan

DUA puluh tiga ahli Parlimen Umno yang ingkar arahan parti untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilihat sukar mempertahankan kerusi mereka pada pilihan raya umum akan datang, kerana kebanyakannya adalah milik parti, kata penganalisis.

Sebanyak 19 daripada kerusi ini mempunyai lebih 70% pengundi Melayu dan empat lagi bukan kerusi majoriti Melayu masih mempunyai 60% ke atas. 

Etnik pengundi di kerusi ini penting, kerana kebanyakannya adalah kerusi luar bandar dengan pengundi Melayu cenderung setia kepada parti dan bukannya calon, kata Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia. 

“Yang terkecuali hanya Tengku Razaleigh Hamzah, yang memenangi kerusi Gua Musang dalam 12 pilihan raya berturut-turut di bawah Semangat 46 (S46) dan Umno,” kata penganalisis sains politik itu. 

“Kebanyakan calon S46 tewas di negeri Pantai Timur walaupun dibantu oleh PAS pada pilihan raya 1990 dan 1995.”

S46 berpecah daripada Umno selepas Dr Mahathir Mohamad menewaskan Tengku Razaleigh dalam pemilihan parti pada 1988.

Ia kemudian bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya 1990 dan 1995 di bawah gabungan Angkatan Perpaduan Ummah, sebelum berpecah dan kembali pada Umno pada 1996. 

Satu lagi parti pecahan yang calonnya berdepan cabaran kerana pengundinya setia kepada parti adalah Amanah, yang merupakan pecahan dari PAS. 

Kecenderungan untuk setia kepada parti adalah kuat di pantai timur Semenanjung, yang mana walaupun memang 11 kerusi Parlimen pada 2018, Amanah kalah pada semua kerusi negeri dan Parlimen di pantai timur pada pilihan raya umum lalu. 

Mazlan mengulas mengenai prospek 23 ahli Parlimen Umno dalam mempertahankan kerusi mereka pada pilihan raya umum akan datang, sama ada bawah Perkatan Nasional atau bebas. 

Daripada 23 kerusi itu, 11 adalah daripada negeri Melayu iaitu Perlis (2), Kedah (1), Kelantan (1), Terengganu (1) dan Pahang (6).

Kerusi yang mempunyai peratusan pengundi Melayu tertinggi adalah di Besut (98%) diikuti Ketereh (97%) dan Putrajaya (95%).

Empat kerusi yang hanya sedikit melebihi margin majoriti Melayu 60% adalah Sembrong (61%), Bera (62%), Jempol (64%) dan Jelebu (65%).

Adakah PAS akan bantu?

Ilham Center, yang khusus dalam analisis pengundi Melayu, berkata sangat menarik untuk melihat apa yang akan dilakukan oleh PAS di 23 kerusi Umno ini yang ahli parlimennya berpegang teguh dengan Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN).

Parti Islam yang kuat di pantai timur itu menyokong PN sejak mula meraih kuasa persekutuan selepas membantu Bersatu Muhyiddin menjatuhkan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

PAS juga merupakan anggota gabungan PN, sementara Umno tidak, dan kerjasama Umno dan PAS di bawah Muafakat Nasional, sebuah perjanjian yang dimeterai pada tahun 2019 sebelum Langkah Sheraton, kini hidup segan mati tak mahu, menurut beberapa pemimpin akar umbi Umno yang ditemu ramah sebelum ini.

“Adakah PAS akan menolong Umno kerana beberapa kerusi ini juga secara tradisi ditandingi oleh mereka? Dan adakah 23 akan bertanding di bawah logo PN seperti di Sabah?” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar.

Logo PN membuat kemunculan pertamanya pada September tahun lalu semasa pilihan raya Sabah, apabila gabungan parti kurang kuat dan pengundi memilih berdasarkan calon, tidak seperti trend di kalangan pengundi luar bandar di Semenanjung. – 14 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini. 

Iklan
Iklan