Iklan

Pembangkang buktikan ada majoriti di Parlimen, saya lepas kerusi DUN, kata Masing

Desmond Davidson3 years ago14th Aug 2021Berita
James masing facebook cropped 140821
Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing berkata beliau akan melepaskan kerusi DUN Baleh jika pemimpin pembangkang mampu membuktikan mereka mempunyai sokongan majoriti di Parlimen yang memerlukan Muhyiddin Yassin berundur sebagai perdana menteri. – Gambar Facebook, 14 Ogos, 2021.
Iklan

JAMES Masing bersedia melepaskan kerusinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak jika pembangkang persekutuan boleh membuktikan mereka mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan baharu.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu berkata beliau akan melepaskan kerusi DUN Baleh jika mana-mana pemimpin pembangkang mampu membuktikan mereka mempunyai sokongan majoriti di Parlimen yang memerlukan Muhyiddin Yassin berundur sebagai perdana menteri.

“Sila pilih salah seorang daripada anda yang ada (sokongan) majoriti di Parlimen (dan) saya letak jawatan,” katanya dalam reaksi kepada perutusan khas perdana menteri yang disiarkan secara langsung semalam.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang memegang kerusi DUN Baleh selama lapan penggal sejak 1983 itu berkata, tindakan Muhyiddin untuk berhubung dengan mereka yang mendesaknya meletak jawatan adalah “jujur dan terhormat”.

“Bola sekarang di kaki pembangkang. Bersatu dan pilih seorang ketua.”

Masing berkata kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Yang Di Pertuan Agong dinasihati untuk membubarkan Parlimen ketika pandemik Covid-19 terus mengganas seterusnya mewujudkan keperluan mengadakan pilihan raya umum mengejut bagi meredakan kekecohan politik yang berlaku.

Katanya, ia bukan pilihan mudah untuk perdana menteri dan Agong.

Semalam, Muhyiddin berkata beliau ada dua peluang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau boleh meminta perkenan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya atau meletak jawatan.

Pilihan termudah adalah meletak jawatan, katanya, yang selepas itu Agong boleh menggunakan kuasanya selaras dengan Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih perdana menteri baharu.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata setakat ini, tiada seorang pun ahli Parlimen boleh membuktikan beliau ada sokongan majoriti di Parlimen bagi membolehkan Agong melantik perdana menteri baharu.

Kesukaran melantik perdana menteri baharu boleh memburukkan krisis politik kerana tiada kerajaan untuk mentadbir negara, tambah Muhyiddin.

Ahli Parlimen Saratok Ali Biju pula berkata cadangan pembaharuan dibuat Muhyiddin semalam adalah sesuatu yang pembangkang “tak boleh tolak dengan mudah”.

“Ini tawaran yang anda tunggu-tunggi. Ini untuk masa depan negara kita.

“Cukup-cukuplah berpolitik dan beretorik. Sudah-sudahlah bermesra dengan kleptokrat,” kata timbalan menteri tenaga dan sumber asli itu merujuk kepada dakwaan hubungan makin erat antara Pakatan Harapan dan Umno. – 14 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan