Menilai janji pembaharuan Muhyiddin
Iklan
CUBAAN terakhir Muhyiddin Yassin melalui tawaran kepada pembangkang dilihat hipokrit dan sudah terlambat, kata penganalisis.
Pembaharuan yang dicadangkan sebagai pertukaran kepada sokongan apabila beliau berdepan undi percaya juga tidak tulin dan boleh dilaksanakan lebih awal ketika mengambil alih kerajaan persekutuan, tambah mereka.
Beberapa pembaharuan yang dicadangkan sudahpun dibangkitkan dalam manifesto Pakatan Harapan, kata Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.
“Tawaran ini hanya dibuat selepas beliau hilang majoriti. Ia sangat tidak ikhlas,” kata pensyarah pengajian etnik Melayu kepada The Malaysian Insight.
Muhyiddin dalam siaran langsung Jumaat lalu merayu sokongan bipartisan apabila beliau berdepan undi percaya di Parlimen bulan depan.
Sebagai pertukaran, Muhyiddin berkata pentadbirannya akan memperkenalkan rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri dan menghalang ahli Parlimen daripada melompat parti.
Beliau turut berjanji untuk memberikan peruntukan kawasan sama rata kepada semua ahli Parlimen, termasuk di kerusi pembangkang, dan menaikkan kedudukan Ketua Pembangkang parlimen agar setaraf dan imbalan dengan menteri kanan.
Muhyiddin menerima kritikan di media sosial dan ahli Parlimen pembangkang kerana menawarkan sogokan secara terbuka dalam siaran langsung di televisyen.
Pembaharuan lain termasuk memastikan komposisi seimbang jawatankuasa pilihan khas parlimen antara parti pemerintah dan ahli Parlimen pembangkang bagi memastikan semak dan imbang, dan separuh daripada jawatankuasa dipengerusikan pembangkang.
Beliau juga menjanjikan pelaksanaan Undi 18 bagi mengurangkan had umur mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun.
Sekiranya kekal sebagai perdana menteri, beliau turut berjanji akan meningkatkan perbelanjaan Covid-19 kerajaan daripada RM45 bilion kepada RM110 bilion, menekankan kepada pandemik yang semakin tidak terkaal serta meningkatkan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan.
Awang Azman berkata sebelum PH dijatuhkan, ia membawa usul pindaan bagi mebgehadkan tempoh jawatan perdana menteri pada sidang Parlimen terakhir pada 2019.
“Muhyiddin tidak meneruskan agenda itu ketika beliau mengambil alih.
“Tidak masuk akal untuknya membuat tawaran itu sekarang. Beliau sepatutnya biarkan persidangan Parlimen lebih awal untuk menentukan undi percaya,” kata Awang Azman.
Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa berkata pembaharuan yang dicadangkan itu boleh dilaksanakan perdana menteri baharu dan Muhyiddin tidak diperlukan.
“Semua ini boleh dibentangkan pada hari pertama sidang Parlimen, masih ada harapan untuk ia dilaksana dan bulan seterusnya hanya laksanakannya sahaja,” katanya dan menambah tawaran Muhyiddin agak terlambat.
Mengenai janji Muhyiddin bahawa rang undang-undang itu hanya akan dibentangkan jika majoriti ahli Parlimen setuju, Tunku Mohar berkata idea perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) pada mulanya dibahaskan sebelum pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen ketika beliau masih memiliki majoriti tipis.
“Tetapi bliau tidak pedulikan pembangkang ketika itu. Sekarang, tiba-tiba sahaja, bila beliau tiada sokongan majoriti, beliau tawarkan pembaharuan yang sudah lama diminta oleh pembangkang.
“Sudah pasti motifnya untuk memujuk pembangkang hanya untuk membolehkan beliau kekal berkuasa.
“Tawaran pembaharuan dibuat selepas itu, kerana beliau tidak pernah menunjukan minat terhadapnya. Beliau bahkan mengkritiknya, seperti Undi 18 dan undang-undang anti-lompat parti. Ia benar-benar langkah terdesak untuknya terus berkuasa,” kata Tunku Mohar. – 15 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.