Iklan

Pengusaha pelancongan Sarawak masih bergelut walau sekatan dilonggar

Desmond Davidson3 years ago17th Aug 2021Berita
49935157382 4f77767942 c
Industri pelancongan Sarawak seperti di negeri lain terjejas teruk disebabkan penutupan sempadan bagi mengekang Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2021.
Iklan

SELEPAS lebih enam bulan sempadan ditutup dan pergerakan rentas daerah disekat sehingga “mematikan” industri pelancongan Sarawak, pengusaha kini mengambil pendekatan berhati-hati terhadap kelonggaran terkini.

Menurut mereka, pendekatan berhati-hati adalah tindakan bijak kerana kelonggaran itu boleh dibatalkan jika pandemik Covid-19 kembali tidak terkawal.

Prosedur operasi standard (SOP) baharu dikuatkuasa di negeri itu semalam selepas ia memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), bagaimanapun tidak melibatkan kawasan utara negeri itu – Lundu, Bau, Kuching, Serian, Tebedu, Samarahan, Asajaya dan Simunjan yang masih terjejas teruk dilanda serangan varian Delta.  

Dua peraturan untuk satu negeri itu sudah menimbulkan ketidakpuasan hati Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Karim Hamzah.

Tambahan pula, kelonggaran yang diberikan hanya untuk tujuan khusus dan kategori individu tertentu.

Minggu lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pasangan suami isteri jarak jauh, jika kedua-duanya sudah lengkap vaksinasi dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri untuk berjumpa.

Satu lagi kategori individu yang dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah adalah ibu bapa yang sudah lengkap vaksinasi untuk berjumpa anak-anak berusia bawah 18 tahun.

Perjalanan rentas daerah- selain dua di atas serta perkhidmatan penting dan kecemasan serta urusan rasmi-masih tidak dibenarkan kecuali dengan permit polis.

Pengusaha pelancongan Sarawak kini hanya bertahan menanti situasi wabak terkawal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2021.

Di Sarawak, SOP Fasa 3 PPN membolehkan tempat pelancongan seperti zoo, ladang, akuarium, premis hiburan berpendidikan, taman rekreasi, taman semulajadi dan aktiviti lasak boleh dibuka semula.

Tempat keseniaan dan kebudayaan seperti muzium, perpustakaan , galeri seni dan kampung budaya pula hanya dibenar buka dengan 50% kapasiti premis atau maksimum 100 orang pada satu-satu ketika.

Aktiviti pelancongan dan kebudayaan lain yang disenaraikan di bawah “senarai negatif” adalah “tertakluk kepada SOP sektor pelancongan” yang diluluskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Situasi ini, menurut Pengerusi Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) Audrey Wan Ullok tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada program pelancongan dalam negeri, Sia Sitok Sarawak.

Program itu adalah kerjasama antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan STF- sebuah konsotrium agensi pelancongan berlesen dan pengendali lawatan di Sarawak.

Ia diperkenalkan pertengahan tahun lepas untuk menggalakkan pelancongan dalam negeri selepas Sarawak menutup sempadan bagi mengasingkan dirinya daripada pandemik yang melanda Semenanjung dan kawasan lain.

Program itu dilancar sebelum sekatan perjalanan antara daerah dikuatkuasa.

“Sia Sitok dah mati,” kata Ullok.

Katanya, jangkaan jangka pendek industri pelancongan dan lawatan Sarawak juga tidak menggalakkan.

Ullok, yang menguruskan hotel keluarganya, Telang Usan di Kuching, berkata ramai penguasaha industri sekarang hanya mampu bertahan.

“Pelancongan yang pertama terjejas dan terakhir pulih, itupun jika kami masih hidup.”

Bagi memastikan hotelnya terus “hidup”, Ullok mendaftar untuk menjadi hotel kuarantin.

“Jika tidak, memang dah lama kami ‘bungkus’,” katanya.

Buat masa sekarang, perjalanan rentas daerah hanya dibenarkan untuk kumpulan individu tertentu seperti pasangan suami jarak jauh dan untuk tujuan kecemasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2021.

Pemain industri lain juga mengubah premis dan cara perniagaan mereka bagi berdepan kemelesetan industri.

Dicky Lee Moh Hui yang menyediakan latihan untuk industri hospitaliti berkata, beliau merasakan “sudah wujud sinar baharu”.

Beliau yang merupakan pelatih diiktiraf Kementerian Sumber Manusia berkata, latihan tidak boleh dijalankan kerana penganjuran seminar, bengkel dan latihan masih tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, pembatalkan sekatan di Sarawak kerana memasuki Fasa 3 PPN memberikannya harapan baharu.

“Saya ada sebuah restoran Jepun tidak sabar mahu melatih pekerja mereka secepat mungkin,” kata Lee.

“Mereka sudah bagi komitmen, malah sudah bayar deposit untuk memulakan latihan sebaik sahaja sekatan dibatalkan.”

Lee berkata beliau tidak dapat menjalankan latihan ketika perniagaan terjejas disebabkan larangan makan direstoran dan sesi latihan tidak boleh diadakan.

Tambahnya beliau berharap sesi latihan dapat dijalankan semula apabila restoran dan hotel mula berlumba-lumba menggunakan levi yang disumbangkan kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka.

Sebaik sahaja sekatan dibatalkan, syarikat akan bergegas menggunakan levi latihan yang dibayar kepada tabung itu sebelum tamat tempoh, katanya berharap.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Sarawak John Teo berkata pengumuman Muhyiddin yang membenarkan individu lengkap vaksin untuk tinggal di hotel bagi tujuan pelancongan adalah langkah pertama pemulihan industri.

“Berita baik,” katanya.

Bagaimanapun, majoriti pemain industri masih terus berhati-hati dan berwaspada sehinga semua sekatan pergerakan dibatalkan.

Seperti kata-kata Ullok: “Kita hanya perlu bertahan”. – 17 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan