Pesakit perlu bantuan pernafasan turun 526, angka kematian baru 282
Iklan
BILANGAN pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan telah menyaksikan penurunan kepada 526 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 1,059 pesakit menerima rawatan di unit rawatan rapi setakat hari ini.
Selama beberapa minggu, terdapat lebih daripada 570 pesakit yang diintubasi dan mereka yang berada di ICU lebih daripada 1,090.
Sementara itu, negara melaporkan 282 kematian hari ini, menjadikan jumlah kematian terkumpul kepada 12,510.
Daripada jumlah korban yang dilaporkan, 101 adalah kes kematian sebelum tiba di hospital manakala 200 mempunyai sejarah komorbiditi.
Angka kematian hari ini melibatkan 108 kes di Selangor, 45 kes di Kuala Lumpur, 44 kes di Johor, 24 kes di Pulau Pinang, 15 kes di Kedah, 13 kes di Perak, sembilan kes di Sabah, enam kes masing-masing di Sarawak dan Melaka, lima kes di Negeri Sembilan, empat kes di Pahang, dan tiga kes di Kelantan.
Terdahulu, Malaysia mencatat 20,546 jangkitan terbaru Covid-19 hari ini.
Noor Hisham berkata, pesakit dalam kategori tiga (pneumonia), empat (pneumonia dan memerlukan bantuan oksigen), dan lima (tahap kritikal) merangkumi 373 kes atau 1.8% daripada kes harian yang direkodkan hari ini.
Sementara itu, 20,173 kes adalah daripada kategori satu (tanpa gejala) dan dua (gejala ringan).
Secara keseluruhan, 17,802 daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini belum divaksinasi atau belum lengkap dos vaksin.
Kadar kebolehjangkitan semasa (Rt) negara ialah 1.05.
“Negeri yang mencatat nilai Rt tertinggi adalah Perlis (1.47), Kelantan (1.20), Sabah dan Pulau Pinang (1.17),” katanya. – 15 Ogos, 2021.