Hampir 33% penduduk sudah diberi vaksin, kata JKJAV
Iklan
SEBANYAK 415,875 suntikan vaksin Covid-19 telah diberikan setakat semalam, menjadikan 10.7 juta atau 32.9% penduduk telah divaksinasi, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
JKJAV berkata 143,671 orang telah menerima dos pertama mereka semalam, sementara 272,204 yang lain melengkapkan dos kedua.
Berdasarkan statistik terkini, 10.7 juta atau 32.9% penduduk telah diberi vaksin, sementara 17 juta atau 52.3% telah menerima dos pertama mereka.
Sementara itu, 72.9% populasi dewasa telah menerima satu dos, dan 45.9% orang dewasa menerima dua dos.
Labuan merekodkan kadar vaksinasi penuh tertinggi dengan 88.8% populasi orang dewasa, atau 60.805 orang, telah melengkapkan dua dos.
Lembah Klang menyaksikan jumlah dos tertinggi diberikan dengan 6.4 juta untuk suntikan pertama dan 4.1 juta suntikan kedua.
Secara keseluruhan, 27.81 juta dos vaksin telah diberikan sejak 24 Februari.
Putrajaya menyasarkan untuk mengimunisasi 50% penduduk menjelang 31 Ogos.
Sementara itu, sekatan pergerakan telah dilonggarkan buat mereka yang sudah melengkapkan dua dos vaksin di negeri-negeri Fasa 2 dan seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara.
Mereka yang telah mendapat dua suntikan vaksin di negeri-negeri itu kini boleh makan di tempat, rentas daerah, melancong dalam negeri, dan melakukan aktiviti sukan tertentu. – 16 Ogos, 2021.