Perikatan Nasional telah lakukan yang terbaik, kata Muhyiddin
Iklan
MUHYIDDIN Yassin percaya kerajaan Perikatan Nasional telah melakukan yang terbaik untuk melindungi dan menyelamatkan Malaysia daripada pandemik Covid-19.
“Namun sebagai manusia, seperti biasa pasti adalah salah dan silap dan saya memohon ribuan ampun dan maaf,” kata Muhyiddin dalam siaran langsung selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri hari ni.
“Saya berharap kerajaan baharu boleh ditubuhkan segera agar pentadbiran negara tidak terganggu dan berjalan seperti biasa kerana tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting,” katanya yang akan menjadi perdana menteri sementara sehingga perdana menteri baharu dilantik.
Pengerusi Bersattu berkata Malaysia dijangka akan mencapai imuniti kelompok pada Oktober.
Muhyiddin merupakan perdana menteri paling singkat memegang jawatan itu selepas meletakkan jawatan hari ini kerana hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Beliau mengambil alih pentadbiran daripada Pakatan Harapan pada 1 Mac, 2020 selepas beberapa siri pembelotan dari PKR ke dalam partinya yang menyebabkan kejatuhan kerajaan sebelum ini.
Ketika beliau mengambil alih kerajaan pada 1 Mac, 2020, hanya 29 kes jangkitan Covid-19 dan tiada kes kematian direkodkan. Setakat semalam, jumlah ks jangkitan Covid-19 melepasi 1.4 juta dengan 12,510 kes kematian.
Dalam siaran langsung itu, Muhyiddin turut mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak perlu bimbang kerana kerajaan telah menempah lebih 87 juta dos vaksin Covid-19.
“Sekiranya program vaksinasi berjalan lancar, semua akan menerima vaksin menjelang akhir Oktober.
“Saya berharap kerajaan baharu yang akan mengambil alih pentadbiran negara akan menjaga kamu semua kerana hanya itu yang saya pentingkan. Saya sentiasa menjaga kamu semua,” kata Muhyiddin.
Katanya perkembangan kini amat menggalakkan kerana jumlah pesakit Kategori 3 dan 4 Covid-19 yang dirawat di hospital Lembah Klang semakin menurun.
“Saya sentiasa prihatin nasib saudara dan saudari sekalian kerana saya anggap saudara dan saudari sebagai anak-anak saya sendiri, kerana itu saya menekankan kebajikan saudara dan saudari menjadi keutamaan kerajaan Perikatan Nasional.”
Terdahulu hari ini, Muhyiddin meninggalkan Istana Negara kira-kira pukul 1 petang selepas mengadap Yang di-Partuan Agong. Beliau tiba di istana pada pukul 12.23 tengah hari.
Beliau turut mengadakan beberapa msyuarat terakhir, yang pertama bersama kumpulan pegawai di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada pukul 8.30 pagi sebelum mempengerusikan mesyuarat khas kabinet yang terakhirnya.
Ahli Parlimen Pagoh itu hilang sokongan majoriti selepas 15 ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan mereka terhadap beliau.
Presiden Bersatru itu bagaimanapun enggan meletakkan jawatan, namun cubaan terakhirnya dengan membuat tawaran kepada pembangkang pada Jumaat gagal, apabila semua parti pembangkang menolak tawaran pembaharuan sebagai pertukaran kepada sokongan.
Bekas ahli politik Umno berusia 74 tahun itu menjadi perdana menteri Malaysia ke lapan pada Mac tahun lalu selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri susulan Langkah Sheraton.
Muhyiddin mengetuai ahli Parlimen Bersatu yang keluar dari Pakatan Harapan dengan sokongan Umno, PAS dan kumpulan pecahan dari PKR, menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan. – 16 Ogos, 2021.