Iklan

Muhyiddin bantah sidang media siaran langsung

Chan Kok Leong3 years ago16th Aug 2021Berita
A498d495-6c19-4252-97f0-dd82e8154c92
Iklan

SIDANG media bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada jam 3.30 petang tadi dihentikan secara tiba-tiba apabila beliau keberatan ia disiarkan secara langsung.

Beberapa minit selepas siaran bermula, Muhyiddin memberitahu pejabatnya bahawa sidang media itu tidak boleh disiarkan secara langsung.

“Ia secara langsung? Saya ingat hanya dengan editor. Tetapi siaran langsung?

“Kenapa mesti disiarkan secara langsung. Tidak mengapa jika untuk dirakamkan, tetapi bukan untuk siaran langsung,” kata Muhyiddin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Siaran langsung dihentikan serta merta selepas mendapat bantahan daripada Muhyiddin.

Sidang media “khas” itu dibuat hanya untuk editor media yang dikendalikan oleh kerajaan dan terpilih sahaja.

Sebelum ini jam 3 petang, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatanya dalam satu siaran langsung.

Muhyiddin menyalahkan “kumpulan kleptokrat” kerana menjatuhkan kerajaannya, menjadikan beliau perdana menteri yang memegang jawatan hanya 532 hari, paling singkat berkhidmat dalam sejarah sejak Merdeka.

Muhyiddin berkata beliau lebih rela mengorbankan kedudukannya sebagai perdana menteri demi mempertahankan prinsip tidak mahu bertolak ansur dengan penyelewengan dan kedaulatan undang-undang.

“Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai perdana menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya.

“Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen, petang ini. – 16 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan