Ahli Parlimen Perikatan beri Muhyiddin mandat selesaikan kemelut
Iklan
AHLI-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bersetuju memberikan mandat kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mencari jalan keluar daripada kemelut politik negara hari ini, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Kamaruddin Jafar.
“Pendirian kita, beri mandat dan kepercayaan kepada presiden Bersatu untuk buat keputusan terbaik bagi masa depan negara.
“Dalam suasana politik, ekonomi, kesihatan, yang amat mencabar sekarang, soal SD (akuan bersumpah) itu teknikal.
“Pendeknya kalau perlu SD, SD lah, kalau ketua parti memaklumkan kepada yang berkuasa, itu pendirian kita, ini beri mandat kepada presiden, Muhyiddin untuk beri pendirian parti jika diminta Agong,” katanya, ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pertemuan di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) di Publika hari ini.
Pertemuan di Ibu Pejabat PN di Publika berlangsung selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dipengerusikan oleh timbalan presiden Ahmad Faizal Azumu.
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan turut mengesahkan mesyuarat MPT Bersatu yang berlangsung secara dalam talian.
Mesyuarat yang bermula kira-kira selepas 3 petang berakhir lebih kurang 5.30 petang, katanya.
Ahli-ahli Parlimen Bersatu kemudian ke ibu pejabat PN di Publika selepas itu.
Kamaruddin berkata, hampir kesemua ahli Parlimen PN hadir dalam pertemuan itu.
“Hampir semua, yang ramai (ahli Parlimen) Bersatu, tapi yang PN pun ada hadir,” katanya.
Antara yang turut kelihatan adalah Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin dan Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Antara ahli Parlimen yang hadir adalah Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah), Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Edmund Santara Kumar (Segamat), Mansor Othman (Nibong Tebal) dan Zuraida Kamaruddin (Ampang).
Turut kelihatan Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor); dan Xavier Jayakumar (Kuala Langat).
Pimpinan PN dari Sabah dan Sarawak termasuklah, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffery Kitingan (Tambunan), Ali Biju (Saratok), Willy Mongin (Puncak Borneo), Larry Sng (Julau) serta Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee.
Muhyiddin hari ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai perdana menteri selepas hilang majoriti ekoran penarikan sokongan oleh sekumpulan ahli Parlimen Umno. – 16 Ogos, 2021.