Agong panggil ketua parti esok berhubung calon PM, kata sumber
Iklan
YANG di-Pertuan Agong akan memanggil semua ketua parti untuk mengadap di Istana Negara esok, kata beberapa sumber kepada The Malaysian Insight.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipercayai mahu mengetahui siapa yang disokong oleh parti untuk menjadi perdana menteri seterusnya susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin hari ini.
“Pertemuan ini akan berbeza daripada yang sebelum ini kerana Yang di-Pertuan Agong mahu berjumpa semua pada satu masa,” kata seorang pemimpin kanan sebuah parti.
Beliau berkata pertemuan itu dijangka berlangsung pada pukul 2 petang.
Seorang lagi sumber mengesahkan setiap parti akan menghantar pemimpin masing-masing.
“Presiden yang akan pergi untuk kami,” tambahnya.
Sementara itu, pegawai di pejabat Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Pejuang juga dipanggil mengadap ke Istana Negara, esok.
Ini merupakan kali kedua pemimpin parti dipanggil mengadap oleh Agong sebelum memutuskan siapa yang akan dilantik sebagai perdana menteri seterusnya.
Pada Februari tahun lalu, Agong memanggil mengadap setiap ahli Parlimen secara individu bagi mengesahkan siapa yang mereka sokong selepas Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Selepas itu baginda sekali lagi memanggil mengadap ketua parti sebelum memutuskan untuk melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri ke lapan.
Dua minggu lalu, ahli Parlimen Pagoh itu hilang sokongan majoriti selepas 15 ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan mereka.
Presiden Bersatu itu enggan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, namun cubaan terakhirnya untuk mendapatkan sokongan daripada pembangkang Jumaat lalu gagal, apabila semua parti pembangkang menolak tawaran pembaharuan sebagai pertukaran sokongan.
Bekas ahli politik Umno berusia 74 tahun itu menjadi perdana menteri ke lapan pada Mac tahun lalu selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri susulan Langkah Sheraton.
Muhyiddin mengetuai ahli Parlimen Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan dan dengan sokongan Umno, PAS dan pecahan PKR, menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan. – 16 Ogos, 2021.