Empat didakwa esok, kes ciapan Twitter lawatan TYT Melaka
Iklan
EMPAT individu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok berhubung ciapan mereka di Twitter yang didakwa menimbulkan fitnah terhadap Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam.
Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kata Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali.
“Mereka disiasat membabitkan lawatan Mohd Ali Rustam ke rumah yang dijadikan tempat latihan pemenang pingat emas atlet angkat berat dari Filipina,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Abdul Majid berkata pihaknya memanggil lapan individu antara 30 Julai hingga 11 Ogos untuk diambil keterangan, dan daripada itu, hanya empat yang akan didakwa.
Mereka berumur antara 28 hingga 45 tahun, katanya.
Seorang pengguna media sosial yang meninggalkan komen “????” pada laporan media itu antara yang dipanggil oleh pihak polis, lapor media beberapa hari lepas.
Pada 28 Julai lalu, Mohd Ali yang juga bekas ketua menteri Melaka antara 1999 dan 2013 melawat tempat atlet Filipina Hidilyn Diaz berlatih angkat berat di Kampung Kesang Tua, Jasin untuk persiapan ke Olimpik Tokyo 2020.
Lawatannya dilaporkan oleh beberapa media di Twitter dan kemudiannya dikomen oleh pengguna platform media sosial itu.
Empat individu itu dibantu oleh Gerakan Guaman Rakyat yang memberikan nasihat perundangan secara pro bono atau percuma.
Tindakan mahkamah terhadap empat individu ini muncul ketika pihak polis sebelum ini menyiasat beberapa individu yang didakwa menghina Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Setakat ini polis menahan tiga lelaki masing-masing dari Lenggeng, Negeri Sembilan; Kepala Batas, Pulau Pinang dan Mergong, Kedah.
Mereka ditahan untuk siasatan susulan laporan polis yang dibuat oleh pegawai khas Sanusi, berhubung kenyataan Sanusi mengenai kontena mayat mangsa Covid-19 yang mencetuskan kontroversi.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sanusi dikecam di media sosial baru-baru kerana berkata kontena mayat sejuk beku mencukupi di Sungai Petani dan menyebut “siapa nak masuk, bagi nama.”
Beliau kemudian menjelaskan kenyataannya dalam sidang media itu hanya bergurau dengan wartawan dan meminta maaf sekiranya ia menyinggung orang ramai.
Beliau juga berkata gurauannya ditanggapi di luar konteks. – 16 Ogos, 2021.