Tipu bantuan makanan jejaskan mereka yang lebih memerlukan, kata aktivis
Iklan
TEKANAN ekonomi dan sekatan pergerakan yang berpanjangan menyebabkan ada orang sanggup menipu untuk mendapatkan bantuan makanan daripada aktivis atau persatuan yang menjalankan kerja sukarelawan.
Aktivis yang menggerakkan kempen bantuan mengakui kerenah itu antara cabaran yang mereka hadapi sejak sekatan pergerakan mencegah penularan Covid-19 bermula lebih setahun lalu.
“Dalam keadaan pandemik seperti ini, setiap individu perlu bertimbang rasa dan tidak mementingkan diri.
“Ramai yang memerlukan bantuan dan kita perlu berkongsi rezeki,” kata aktivis M Thabagaran, yang bergerak di sekitar Lembah Kelang sejak kempen bendera putih bermula pada hujung Jun.
Bendera putih adalah isyarat rumah berkenaan memerlukan bantuan, lazimnya makanan.
Menurut Thabagaran, beliau memulakan usaha bantuan bersama dua rakan sekolah selepas menerima banyak maklumat mengenai keluarga yang memerlukan pertolongan terutamanya warga asing.
“Kami menggunakan hampir 90 peratus wang simpanan sendiri untuk memulakan usaha ini.
“Hampir setiap hari kami menerima maklumat mengenai mereka yang memerlukan bantuan tetapi cabarannya, kami perlu tapis maklumat yang diterima itu.
“Dalam banyak keadaan, kami menerima permintaan berganda daripada keluarga yang sama, masing-masing menggunakan identiti ahli keluarga yang berbeza,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jelas beliau, permintaan berganda daripada keluarga yang sama menunjukkan keluarga itu memang dalam keadaan terdesak namun tindakan mereka akan menyebabkan keluarga lain pula tidak mendapat bantuan.
Seorang lagi aktivis Charles Michael Soosai, 36, yang menggerakkan kempen bakul makanan kepada keluarga pelarian di Pulau Pinang dan Kedah bersama rakan-rakan kelab bola sepaknya, turut berkongsi cabaran yang sama.
“Untuk rakyat Malaysia kita masih lagi boleh membuat pengesahan maklumat peribadi dan alamat tetapi bagi keluarga pelarian cabarannya lebih besar.
“Kadang kala kami akan membawa 50 bakul makanan ke suatu kawasan dan apabila tiba di situ, mereka akan beratur untuk mengambil bakul makanan berkenaan.
“Kami akan memberi pesanan lebih awal supaya hanya satu wakil keluarga yang mengambil bakul makanan dan selepas agihan selesai dibuat, baru kami akan nampak lebih dari dua ahli keluarga yang mengambil bakul itu dan ia menyebabkan keluarga lain tidak mendapat bantuan.
“Raut muka mereka juga hampir sama dan disebabkan itu cabaran untuk kenal pasti identiti mereka lebih sukar,” katanya.
Sementara itu, wakil Persatuan Kebudayaan Tamil Jerantut, A Moganakumar berkata, persatuan itu mula mengagihkan bantuan makanan ketika daerah Jerantut dikenakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) dan mereka mengagih bantuan ikut permintaan.
“Pada mulanya masyarakat sini malu untuk meminta bantuan, tetapi apabila jiran atau penduduk sekitar mula menerima bantuan, permintaan menjadi tinggi.
“Keluarga yang berkemampuan pun mula untuk meminta tanpa malu malah ada yang ‘menipu’ dengan mendakwa kehilangan pekerjaan dan sebaliknya semata-mata untuk bakul makanan yang diagihkan itu.
“Selain alasan tiada pekerjaan, mereka mendakwa ada ahli keluarga orang kelainan upaya (OKU), putus bekalan makanan dan pelbagai alasan. Alasan seperti ini menyebabkan bantuan tidak sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya. – 17 Ogos, 2021.