Rakyat Sarawak marah ahli politik tamak berikutan krisis politik terkini
Iklan
BERIKUTAN krisis politik terbaharu sekarang ini, rakyat Sarawak mula berang dan meluahkan kebencian mereka terhadap ahli politik yang lebih mementingkan diri sendiri.
Ahli akademik Joseph Ramanair, pada umumnya, mempersoalkan adakah para ahli politik ini memikirkan tentang kesejahteraan rakyat yang terkesan teruk dengan pandemik Covid-19.
“Sekarang kita tidak ada kerajaan untuk kawal pandemik dan perbaiki masalah rakyat. Cuma kerajaan sementara.
“Apa yang bagusnya?” katanya.
Sentimen pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu antara cerminan umum kebanyakan yang ditemui The Malaysian Insight.
Ramanair berkata krisis memilih calon perdana menteri ini akan berlanjutan dan dalam masa sama membiarkan negara berada dalam keadaan tidak menentu.
Ahli akademik itu berkata beliau marah dengan ahli politik yang tidak mahu bekerjasama tangani penderitaan rakyat.
“Saya marah dengan semuanya. Mereka semua mahu jadi perdana menteri,” katanya, mengungkap sikap pembangkang yang menolak tawaran Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama menangani pandemik.
“Saya bukan peminat Muhyiddin tetapi sekurang-kurangnya beliau cukup bermaruah mendapatkan semua orang untuk bekerjasama,” katanya, walaupun tidak berharap sepenuhnya yang pembangkang akan terima cadangan bekas perdana menteri itu.
“Sangat bodoh tidak terima tawaran itu. Inilah pemimpin yang kita ada sekarang. Mereka tidak akan ketepikan perbezaan politik mereka dan bekerja untuk rakyat. “
Dalam usaha terakhirnya mendapatkan sokongan bipartisan, Muhyiddin berkata beliau akan membuat enam perubahan, atau tujuh jika mendapat majoriti dua pertiga selepas mengadakan usul percaya dalam sidang Parlimen pada September depan.
Ini termasuk memperuntukkan dana RM300,000 kepada semua ahli Parlimen, tambahan RM45 bilion dana Covid-19 seperti yang diperjuangkan pembangkang, menjadikan ketua pembangkang Anwar Ibrahim setaraf menteri kanan, selain reformasi Parlimen dan pilihan raya seperti mengehadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal.
Bagaimanapun, cadangan tersebut ditolak pembangkang.
Ramanair berkata jika kerajaan yang penuh tidak dapat bentang Belanjawan 2022 tahun ini, beliau yakin darurat akan diumumkan supaya sehingga kerajaan baharu dipilih tahun depan.
Willam Lee, penyokong akar umbi PKR, berkata ahli politik dalam krisis sekarang menjadikan usaha Yang di-Pertuan Agong menyelesaikan krisis Februari 2020 yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan sebagai bahan jenaka.
“Tidak semestinya begitu. Muhyiddin dipilih oleh Agong untuk selesaikan krisis politik tetapi pengkritiknya berusaha keras untuk pastikan beliau tidak bertahan lama,” kata Lee, yang kini aktif dalam kegiatan masyarakat sivil.
Tanpa menyebut nama, Lee berkata hal yang sama akan berlaku kepada orang yang menggantikan Muhyiddin dan itu akan terus berlaku sehingga ahli politik yang ingin menjadi perdana menteri mendapat restunya”.
Lee sekarang tertanya-tanya adakah “pertarungan” untuk kuasa dan kedudukan, adalah amalan yang selalu terjadi di semenanjung.
“Mereka tidak begitu peduli dengan rakyat. Adakah anda fikir mereka benar-benar peduli sama ada rakyat menderita atau tidak? Janji manis sahaja.” – 18 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.