Iklan

Kerajaan baharu patut laksana reformasi institusi, kata penganalisis

Mohd Farhan Darwis3 years ago19th Aug 2021Berita
Undi18 protest twitter 270321  full
Kerajaan baharu perlu ambil iktibar kelemahan PN dan PH untuk dijadikan panduan bagi merealisasikan reformasi institusi dan juga kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2021.
Iklan

KERAJAAN baharu patut melaksana usaha pembaharuan institusi yang ditawarkan Muhyiddin Yassin sebelum beliau meletak jawatan perdana menteri, kata penganalisis.

Mereka berpendapat, idea pembaharuan institusi yang dituntut gerakan sivil sejak sekian lama itu patut diutamakan kerajaan baharu dan tidak menjadikannya tawaran kosong semata-mata.

Penganalisis Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata, kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) melaksanakannya perlu dijadikan iktibar.

“Kerajaan perlu laksana dasar yang baik untuk rakyat dan negara, itu tak dapat elak kerana ia sebahagian daripada tuntutan rakyat.

“Kerajaan baharu nanti perlu ambil iktibar kelemahan PN dan PH untuk dijadikan panduan bagi merealisasikan reformasi institusi dan juga kerajaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, tuntutan ke arah reformasi institusi itu dimulakan gerakan sivil sejak sebelum Pilihan Raya Umum pada 2014 lagi dan mula dilaksana PH sewaktu pentadbirannya.

Namun usaha itu tidak dapat diteruskan apabila Muhyiddin mengambil alih pentadbiran negara melalui Langkah Sheraton dan menubuhkan kerajaan PN.

Kemudian, usaha itu timbul semula sebagai tawaran kosong Muhyiddin untuk meraih sokongan di hujung hayat pentadbirannya sebelum meletak jawatan.

“Cadangan yang sebahagian besar itu dimulakan PH, ini tuntutan manifestasi gerakan sivil sejak sebelum PRU 2014.

“Amat baik untuk dilaksanakan dan bukan dijadikan tawaran kosong dan jangan jadikan tawaran itu dilakukan hanya di akhir atau hujung hayat kerajaan baru,” kata Awang Azman lagi.

Tawaran disebut Muhyiddin termasuk akta menghalang lompat parti, had tempoh jawatan perdana menteri dua penggal dan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti.

Beliau juga menawarkan untuk melaksana Undi 18 tanpa peruntukan pendaftaran automatik serta penyertaan lebih besar pembangkang dalam jawatankuasa parlimen.

Selain itu, Muhyiddin juga menawarkan saraan setaraf menteri kanan kepada ketua pembangkang. Kesemua tawaran tersebut ditolak pembangkang, menyebabkan beliau terpaksa meletak jawatan.

Namun menurut Awang Azman, pembaharuan institusi itu tidak terhad kepada tujuh tawaran itu sahaja dan perlu melibatkan cadangan reformasi semua parti termasuk Barisan Nasional (BN).

“Mana-mana kerajaan baru sekarang mereka akan mula sedar pembaharuan itu antara bahagian yang mereka perlu laksanakan, malah kena lakukan dan tambah lebih baik lagi.

“Maknanya apa-apa yang baik daripada PH, PN, dan BN perlu dijadikan dasar dan digabung jalin untuk manfaat rakyat dan negara,” kata Awang Azman.

Awang Azman Awang Pawi berkata kegagalan pentadbiran PH dan PN melaksanakan reformasi perlu dijadikan iktibar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2021.

Seorang lagi penganalisis Ahmad Martadha Mohamed pula berkata, walaupun kerajaan baharu tidak terikat dengan tawaran itu, masanya sudah tiba untuk untuk melaksana usaha reformasi tersebut.

“Mereka tak terikat, tiada perjanjian bertulis yang mengikat kerajaan tapi terpulang kepada kerajaan nak teruskan atau tidak. Tapi ia memang baik untuk dilaksanakan.

“Ia tak jadi satu tanggungan kepada kerajaan baharu namun idea itu wajar dipertimbangkan kerana ia idea yang baik.

“Saya tengok cadangan itu sangat bernas dan sesuai dilaksanakan,” kata penganalisis dari Universiti Utara Malaysia itu kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

Tambah Ahmad Martadha, reformasi yang dicadangkan pembangkang boleh menyumbang kepada pentadbiran kerajaan sekiranya mereka diberikan pengiktirafan sewajarnya.

Beliau juga melihat pengumuman Muhyiddin sebelum meletak jawatan itu satu tawaran yang baik, tetapi tidak kena masa.

“Sekarang ini siapa pun jadi pembangkang samalah, semua sentiasa kritik kerajaan. Sebab itu kita lihat hubungan kerajaan dengan pembangkang tak mesra dan harmoni.

“Cadangan reformasi institusi itu bagus cuma mungkin bermasalah dari kesesuaian masa,” katanya lagi.

Azmil Mohd Tayeb, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia pula melihat tawaran Muhyiddin sememangnya berpotensi memastikan pentadbiran kukuh.

Katanya, akta yang menghalang lompat parti akan mengelakkan sesebuah kerajaan tumbang dengan menyekat ahli Parlimen berpaling tadah.

“Saya rasa memang patut ditimbangkan idea reformasi, ia dicadangkan dah lama, dan dalam perbincangan terutama semasa pentadbiran PH.

“Akta anti lompat parti contohnya boleh diperkenalkan untuk elak orang melompat parti terjadi lagi pada masa akan datang kerana ini punca ketakstabilan kerajaan kerana orang boleh lompat parti.

“Kalau ada satu undang-undang yang boleh elakkan itu daripada terjadi saya rasa ini boleh membawa kepada kestabilan kerajaan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menyokong pandangan penganalisis politik yang lain agar mana-mana kerajaan yang dibentuk kelak mempertimbangkan idea tersebut.

“Itu idea yang patut mana-mana kerajaan dibentuk perlu timbangkan demi kestabilan negara dan kerajaan kita,” tambah Azmil lagi.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar pula berpandangan tuntutan itu tidak lagi berbangkit kerana Muhyiddin tidak lagi menjadi perdana menteri pada waktu ini.

Beliau berkata, agenda tersebut hanya ditimbulkan untuk menjamin kelangsungan pentadbiran ahli Parlimen Pagoh itu pada masa ini.

Kerajaan baharu pula sebaliknya perlu memastikan rakyat dan negara ini keluar daripada kemelut wabak Covid-19 dan ekonomi yang merudum sehingga menghimpit kehidupan mereka.

“Agenda itu untuk kekal kuasa dan tak lebih kepada manisan dalam politik. Tidak ada (kepentingan) apa-apa pun.

“Agenda itu tidak lagi menjadi keutamaan yang lebih tinggi dan lebih aula daripada untuk selamatkan rakyat daripada Covid-19 dan ekonomi.

“Orang sudah nak mati macam ini tidak sempat dah nak bincang perdana menteri dua penggal, undi 18, dan sebagainya… Orang tak kisah dah, itu semua tidak menjawab apa yang rakyat nak sekarang.” – 19 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan