Iklan

Kakitangan resort hilang ekoran kepala air di Gunung Jerai

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago18th Aug 2021Berita
Ujan
Hujan lebat di Gunung Jerai mengakibatkan air sungai melimpah ke semua tempat dan beberapa rumah berdekatan sungai turut terjejas teruk.– Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, 18 Ogos, 2020
Iklan

SEORANG kakitangan Jerai Hill Resort masih hilang selepas terperangkap akibat fenomena kepala air di jalan curam ke Gunung Jerai di Kedah petang ini, menurut pasukan penyelamat.

Pengarah Bomba Kedah, Sayani Saidon berkata individu tersebut merupakan antara empat orang mangsa terkandas di puncak Gunung Jerai sewaktu kejadian itu.

Laporan terkini yang diterimanya menunjukkan tiga terselamat manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian itu, katanya.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan… Pasukan khas Bomba telah diaktifkan di lokasi kejadian bagi membantu operasi tersebut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, seorang daripada kakitangan resot yang terselamat itu cedera di bahu dan dihantar ke hospital.

Tambahnya pasukannya juga menyelamatkan 15 mangsa yang terjejas akibat banjir kilat yang berlaku di Yan dan Sungai Petani akibat hujan lebat.

“Berdasarkan laporan awal, satu kejadian tanah runtuh berlaku di kilometer 8 Gunung Jerai serta dua lagi kejadian banjir kilat di sekitar kawasan Yan yang melibatkan beberapa buah perkampungan dan kawasan sekitar Merbok, Sungai Petani,” katanya.

Bomba dari pasukan gerakan operasi Kedah menggerakkan jentera tiga balai bersama 24 anggota digerakkan ke lokasi kejadian, katanya.

Kejadian tanah runtuh berlaku di kilometer 8 Gunung Jerai serta dua lagi kejadian banjir kilat di sekitar kawasan Yan.– Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, 18 Ogos, 2020.

Katanya, fenomena itu turut mengakibatkan banjir kilat di beberapa kampung sekitar kaki gunung di Gurun, Yan dan Merbok dengan lebih 10 rumah dilapor rosak.

Video dan imej dikongsi pengguna media sosial antara lain menunjukkan aliran air deras menghasilkan air terjun setinggi puluhan meter di kaki gunung tersebut.

Rakaman berkenaan turut menunjukkan kesan hentaman air deras tersebut menghanyutkan kenderaan serta merosakkan jalan di jalan curam ke gunung itu.

Terdapat juga gambar menunjukkan kerosakan kereta dan rumah akibat hentaman air deras di kawasan kejiranan.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata, hujan lebat di Gunung Jerai mengakibatkan air sungai melimpah ke semua tempat dan beberapa rumah berdekatan sungai turut terjejas teruk.

“Pegawai khas saya, Muzaini Azizan, berada di lokasi banjir kilat di Kampung Sungai Badak, Gurun.

“Selain Sungai Badak Gurun, terdapat lokasi lain turut ditimpa nasib sama seperti Singkir, Teroi dan juga beberapa lagi kawasan sekitar Yan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau berkata, penduduk yang terjejas sudah dipindahkan ke kawasan selamat.

“Kita bimbang jika mereka berterusan tinggal di kediaman mereka dengan keadaan hujan lebat ini kejadian tidak diingini boleh berlaku,” katanya. – 18 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan