Iklan

Ahli Parlimen GPS menghadap Agong secara maya

Desmond Davidson3 years ago19th Aug 2021Berita
Istana negara 080119  full  full
Agong memanggil menghadap ahli Parlimen bagi mengesahkan akuan bersumpah yang diserahkan dan sama ada sokongan kepada calon PM dibuat secara sukarela. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2021.
Iklan

SERAMAI 17 ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak dapat ke Kuala Lumpur untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada pukul 10 pagi tadi bagi mengesahkan sokongan terhadap calon perdana menteri seterusnya, dapat meneruskannya secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.

Ahli Parlimen GPS (MP), kecuali Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing yang sudah berada di Kuala Lumpur, berkumpul di Hotel Waterfront, Kuching untuk “menghadap” Agong.

Mereka disertai Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang (Bebas).

Bercakap kepada pemberita mengenai sesi itu, Ahli Parlimen Petra Jaya dan Ketua Whip Fadillah Yusof berkata mereka dipanggil secara individu oleh Agong untuk mengesahkan akuan bersumpah yang diserahkan dan sama ada calon pilihan mereka untuk menggantikan Muhyiddin Yassin, dibuat secara sukarela.

“Ia bagi mengesahkan keputusan yang kami buat dibuat secara sukarela. Itulah yang (berlaku) sebentar tadi,” kata Fadillah.

Fadillah berkata Tiong akan ke Istana Negara seperti yang diminta.

Ahli Parlimen GPS itu berada di Kuching bagi mesyuarat untuk membincangkan dan memuktamadkan siapa yang akan mereka sokong bersama Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Mesyuarat petang semalam diadakan di bangunan dewan undangan negeri.

Fadillah enggan mendedahkan siapa yang disokong oleh ahli Parlimen GPS, berkata beliau menyerahkan kepada Agong untuk membuat pengumuman.

Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar lebih terbuka dengan siapa yang disokongnya.

“Saya menyokong Sabri Ismail,” katanya mengenai naib presiden Umno.

“Saya tidak tahu yang lain (kerana) saya tidak mengetahui apa-apa tentang SD (akuan bersumpah) mereka.”

Wan Junaidi, menteri pengembangan usahawan dan koperasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang runtuh berkata beliau sudah lama mengenali Ismail Sabri dan mempunyai kemampuan serta kredibiliti untuk menjalankan tugasnya jika terpilih sebagai perdana menteri.

Wan Junaidi berkata, Ismail Sabri juga “bersih” dan “sangat sensitif” terhadap keperluan Sarawak.

Beliau juga membela Ismail Sabri daripada dakwaan bahawa ahli Parlimen Bera itu adalah seorang ekstremis perkauman.

“Saya belum melihat atau mendengarnya menunjukkan kecenderungan ekstremis,” kata Wan Junaidi.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata memandangkan Ismail Sabri berkelulusan undang-undang, jarang melihat peguam cenderung bersikap ekstremis. – 19 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan