Tiada sambutan walaupun Umno kembali berkuasa, kata ahli parti
Iklan
JIKA tiada sebarang kejutan pada saat akhir, Ismail Sabri Yaakob yang berusia 61 tahun akan diumumkan sebagai perdana menteri Malaysia ke-9 hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri juga akan menjadi perdana menteri pertama Umno selepas Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum pada 2018, menandakan berakhirnya 27 bulan Umno kehilangan pengaruh dalam politik.
Bagaimanapun, tidak seperti perdana menteri Umno yang lain, Ismail Sabri akan memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan bukannya kerajaan BN.
Dan tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, tidak akan ada “kenduri” untuk menyambut perdana menteri baharu kerana beliau mempunyai cabaran politik dan Covid-19 yang sangat besar untuk diuruskan, kata ahli Umno.
Walaupun Ismail Sabri menjadi pilihan mengejutkan selepas beliau menentang kepemimpinan parti dengan menyokong Muhyiddin Yassin, Faisal Hisam daripada Umno Larut percaya pengalaman ahli Parlimen Bera itu akan membantunya menguruskan krisis berganda yang sedang dihadapi.
“Kami gembira berjaya menjatuhkan Muhyiddin kerana Umno kembali berkuasa. Tetapi Ismail Sabri perlu membuat pilihan yang sukar ketika memilih anggota Kabinetnya.
“Beliau harus sangat selektif dan tepat untuk tidak mengulangi kesalahan penyandangnya, namun cukup berani untuk menggugurkan mereka yang tidak menunjukkan prestasi baik,” kata Faisal.
Faisal berkata walaupun Bersatu mencadangkan menjadikan Muhyiddin sebagai mentor menteri, Ismail Sabri harus mengelakkan perkara ini.
“Saya harap tidak,” katanya.
Sebaliknya, Faisal berharap Ismail Sabri menggantikan bekas menteri kesihatan Dr Adham Baba dengan seseorang yang lebih baik seperti menteri penyelaras program vaksinasi Covid-19, Khairy Jamaluddin.
Sebelum dipilih menggantikan Muhyiddin, Ismail Sabri mengetuai pemberontakan kecil yang terdiri daripada 25 ahli Parlimen Umno, MCA dan MIC selepas Umno menarik sokongannya terhadap presiden Bersatu itu.
Seorang lagi pemimpin akar umbi Umno, yang tidak mahu disebutkan namanya berkata beliau bingung dengan keputusan kepemimpinan itu.
“Ismail Sabri pernah menentang parti tetapi kini akan menjadi PM. Bagaimana seseorang akan takut dengan kepemimpinan pada masa depan?” kata pemimpin dari Johor itu, selepas diumumkan Ismail Sabri akan memimpin kerajaan PN dan bukannya kerajaan BN.
Walaupun bimbang dengan pelantikan Ismail Sabri, Norhisham Abdul Mutalib berkata tiada apa yang salah dengan pemilihan itu.
“Beliau adalah yang paling kanan selepas Zahid (Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi). Cabarannya adalah bagaimana mengurus persepsi dengan bijaksana.
“Saya bimbang dengan harapan orang ramai. Saya harap beliau dapat melantik orang yang cekap, kurang berpolitik dan mengembalikan semula keyakinan,” kata exco bahagian Batu.
Tuah Ismail Sabri
Pengarah Eksekutif Pusat Ilham Hisomuddin Bakar tidak terkejut dengan respons suam-suam kuku ahli Umno terhadap kenaikan pangkat Ismail Sabri.
“Ismail Sabri sangat beruntung kerana beliau bukan pilihan utama Umno mengikut tradisi. Tetapi beliau beruntung kerana menjadi satu-satunya pemimpin tertinggi yang tidak didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.”
Calon lebih kuat seperti Zahid berdepan perbicaraan kes rasuah sementara bekas presiden Najib Razak disabitkan kesalahan menyeleweng wang daripada anak syarikat 1Malaysia Development Bhd.
Walaupun terdapat banyak sokongan untuk timbalan presiden Mohamad Hasan dan naib presiden Khaled Nordin, kedua-dua bekas menteri besar itu bukannya ahli Parlimen, membuka peluang kepada naib presiden Ismail Sabri dan Mahadzir Khalid.
Bagaimanapun, disebabkan kumpulan Muhyiddin sudah memutuskan untuk menyokong Ismail Sabri, kumpulan Umno yang dipimpin oleh Zahid terpaksa sama ada menyokong Ismail Sabri atau pemimpin pembangkang Presiden PKR Anwar Ibrahim. Umno memilih Ismail Sabri.
Justeru, tidak hairanlah mengapa penyokong Umno tidak begitu gembira dengan perdana menteri baharu mereka, kata Hisomuddin.
“Secara tradisinya, perdana menteri juga presiden Umno. Oleh itu, Ismail Sabri mungkin menjadi presiden berikutnya kerana beliau akan mempunyai kelebihan berbanding lawannya.”
Sebelum durian runtuh ini, Ismail Sabri bukanlah calon presiden pada pemilihan parti lalu, kata Hisomuddin.
“Pesaing utama untuk pemilihan presiden adalah Zahid, Khairy dan Tengku Razaleigh Hamzah. Tetapi ini adalah politik dan akar umbi Umno harus menerima yang norma baharu,” kata penganalisis politik Melayu itu. – 20 Ogos, 2021.