Iklan

Peserta himpunan peringati mangsa Covid-19 kena kompaun RM2,000

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago20th Aug 2021Berita
Activists arrested during candlelight vigil 20210819 tmihasnoor 002
Seramai 31 ahli SSR berhimpun sambil membakar lilin dan memegang kain rentang putih bertulis 'Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi' di Dataran Merdeka, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Ogos, 2021.
Iklan

KESEMUA 31 anak muda yang ditahan sewaktu perhimpunan memperingati mangsa Covid-19 di Dataran Merdeka dikenakan kompaun RM2,000 setiap individu, menurut polis.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata anggota kumpulan Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) itu ditahan kerana melanggar ketetapan kawalan pandemik Covid-19.

Mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana terbabit dalam perhimpunan bermula jam 8 malam itu, katanya.

“Tindakan ke atas mereka diambil mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Mereka turut dikenakan tindakan mengikut Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit PPN (No 2) 2021,” katanya.

Katanya, peserta berkaitan dikompaun selepas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk dirakam kenyataan.

“Pasukan Pematuhan IPD Dang Wangi mengesan sekumpulan individu berhimpun di Dataran Merdeka malam tadi, sempena program memperingati mereka yang gugur akibat pandemik Covid-19.

“Seramai 31 ahli SSR berhimpun sambil membakar lilin dan memegang kain rentang putih bertulis ‘Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi’,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Menurut Noor Dellhan, kesemua anak muda tersebut dibawa ke IPD Dang Wangi untuk dirakam keterangan dan kemudian dikompaun.

Sementara itu SSR pada malam tadi mengecam tindakan polis menahan anggota yang hadir bagi memperingati mangsa Covid-19 yang gugur itu.

Kumpulan itu menegaskan, peserta tersebut berhak berhimpun secara aman dan selamat memandangkan ia dijalankan di kawasan terbuka dengan ruang penjarakan yang luas.

“Penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dipatuhi oleh semua yang hadir,” kenyataan itu dipetik. – 20 Ogos, 2021.
 

Iklan
Iklan