Wanita maut digilis tren LRT
Iklan
SEORANG wanita maut selepas terjatuh dari tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen LRT Sentul Timur petang ini.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai yang mengesahkan insiden itu berkata, kejadian berlaku pada pukul 4.30 petang.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian dipercayai berlaku apabila wanita itu berjalan di atas tren yang tidak bergerak.
“Dia juga duduk di besi penyambung gerabak dan terjatuh apabila tren mula bergerak, sebelum digilis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beh berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dan kes masih dalam siasatan.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 5 petang untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa.
“Kerja-kerja mengeluarkan mayat selesai kira-kira setengah jam kemudian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – 20 Ogos, 2021.