Cabaran pertama Ismail Sabri: Puaskan hati semua pihak
Iklan
TUGAS pertama Ismail Sabri Yaakob adalah mencari titik temu antara tuntutan dan kepentingan parti-parti yang menyokongnya, kata penganalisis.
“Sebagai contoh siapa yang beliau akan lantik sebagai timbalan perdana menteri,” kata Dr Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia.
“Logik menunjukkan ia mesti dari Bersatu sebab sebelum parti itu pegang jawatan perdana menteri.
“Jika dari Bersatu, Ismail Sabri perlu pilih antara tiga puak yang bersaing, iaitu Bersatu yang asli, bekas pemimpin Umno dan bekas pemimpin PKR yang semuanya ada tuntutan yang sah.”
Kamarul berkata demikian mengulas cabaran politik yang akan dihadapi Ismail Sabri selepas Istana Negara mengumumkan naib presiden Umno itu akan angkat sumpah sebagai perdana menteri baharu hari ini.
Pemimpin Bersatu Hamzah Zainuddin, Mohamed Azmin Ali, Mohd Redzuan Md Yusof dan Ahmad Faizal Azumu dilaporkan bersaing untuk merebut jawatan timbalan perdana menteri.
Bekas menteri Mohd Redzuan dan bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal merupakan dua ahli Parlimen Bersatu yang asal, sementara bekas menteri dalam negeri Hamzah berasal dari Umno. Sebelum bergabung dengan Bersatu, Azmin merupakan timbalan presiden PKR.
Ismail Sabri dipilih sebagai perdana menteri baharu setelah 15 ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin, menyebabkan kerajaannya jatuh.
Perikatan Nasional, GPS, PAS dan Umno memberikan 114 sokongan kepada Ismail Sabri daripada 222 kerusi dalam Dewan Rakyat.
Bagaimanapun Kamarul yakin Ismail Sabri ada pilihan lain jika beliau mahu lebarkan sayapnya.
Pensyarah sains politik UUM itu berkata Ismail Sabri dapatkan Pejuang, Warisan dan parti pembangkang lain untuk memperkukuhkan sokongannya.
“Jika Warisan sokongnya, beliau mungkin perlu angkat Shafie Apdal sebagai timbalannya. Tetapi adakah Bersatu, yang ada 54 ahli Parlimen, akan setuju dengan ini? ” kata Kamarul.
Dr Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia juga berpendapat Ismail Sabri perlu lantik ahli Parlimen Bersatu sebagai timbalannya.
Namun, beliau berkata tugas Ismail Sabri sukar kerana ada Hamzah dan Azmin yang tidak popular.
“Lebih dari itu, Ismail Sabri juga perlu fikirkan menteri lain yang tidak popular seperti Dr Adham Baba, Rina Harun dan lain-lain. Mampukah beliau mulakan kerajaannya dengan kabinet yang dinilai negatif?” kata Lau.
Lau berkata, Ismail Sabri mampu atasi persepsi negatif di sebalik pelantikannya jika beliau mengangkat orang yang tepat.
“Selepas Langkah Sheraton, Muhyiddin juga berhadapan reaksi negatif. Tetapi ketika kerajannya uruskan pandemik Covid-19 dengan PKP 1.0, pendapat umum terhadap Muhyiddin bertambah baik.
“Jika bukan kerana pilihan raya negeri Sabah, populariti Muhyiddin tidak akan jatuh dan pandemik Covid-19 tidak akan bertambah buruk.
“Jadi, tidak mustahil kerajaan Ismail Sabri, walaupun dalam wacana politik beliau ditolak rakyat, boleh dapatkan kerjasama rakyat atas nama pengurusan pandemik,” kata pensyarah sains politik itu.
Umno
Lebih daripada menguruskan Bersatu, Kamarul percaya cabaran besar Ismail adalah bagaimana untuk membuatkan 15 ahli Parlimen Umno, yang tolak Muhyiddin, jadi gembira.
“Adakah mereka akan terus sokong Ismail, jika beliau kekal dengan cara Perikatan Nasional?”
Pada Khamis, Muhyiddin berkata Perikatan Nasional menyokong Ismail Sabri dengan syarat beliau tidak melantik ahli Parlimen “kluster mahkamah” dalam kabinetnya atau campur tangan dalam kes mahkamah mereka.
Muhyiddin menggunakan istilak “kluster mahkamah” bagi menggambarkan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak. Kedua-dua pemimpin Umno itu menghadapi perbicaraan kerana rasuah manakala Najib kini dalam proses rayuan atas tuduhan menerima wang dari anak syarikat 1Malaysia Development Bhd.
Bagaimanapun, Lau berkata Ismail Sabri tidak perlu terlalu risau dengan Umno.
“Beliau perdana menteri Umno. Tambahan pula, jumlah ahli Parlimen Umno dan Bersatu sekarang menunjukkan Bersatu boleh jadi TPM.
“Tetapi Ismail Sabri boleh bentuk kepemimpinan yang lebih dari satu (seperti menteri-menteri kanan dalam kerajaan Muhyiddin sebelum ini). Dan beliau perlu buka jawatan untuk Bersatu.
“Jika tidak, saya tak dapat bayangkan bagaimana Bersatu dapat berikan Ismail sokongan mereka,” kata Lau. – 21 Ogos, 2021.