Iklan

Polis 'melampau' walau perhimpunan batal, kata penganjur

Aminah Farid3 years ago21st Aug 2021Berita
Img 7783
Sekretariat Solidariti Rakyat dalam satu kenyataan malam tadi berkata halangan ke atas 34 aktivisnya masuk ke beberapa kawasan di Kuala Lumpur berlebihan kerana notis pembatalan perhimpunan telahpun diserah pada Rabu lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Ogos, 2021.
Iklan

PENGANJUR himpunan kedua bantah kerajaan yang dijadual diadakan di Dataran Merdeka hari ini menyelar tindakan polis mendapatkan perintah mahkamah bagi melarang aktivis masuk ke beberapa kawasan di Kuala Lumpur.

Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) dalam satu kenyataan malam tadi berkata halangan ke atas 34 aktivisnya masuk ke beberapa kawasan di Kuala Lumpur berlebihan kerana notis pembatalan perhimpunan telahpun diserah kepada polis pada Rabu lalu.

Tindakan polis ke rumah aktivis SSR tanpa notis pada waktu malam melibatkan bilangan anggota yang ramai bagi menyerahkan perintah mahkamah juga mempau, katanya.

“Kami beranggapan bahawa tindakan ini adalah untuk menggertak para aktivis daripada menjalankan tanggungjawab dan hak demokratik mereka.

“Kami telah memberikan notis kepada pihak polis bahawa kami telahpun membatalkan perhimpunan tersebut,” kenyataan itu dipetik. 

SSR juga berkata mereka dijemput ke IPD Dang Wangi pada Rabu lalu, untuk berbincang dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkenaan himpunan aman yang dijadual diadakan hari ini. 

Notis pembatalan himpunan juga telah diserah semasa perjumpaan tersebut, tambahnya.

“Kami memandang serius akan tindakan pihak polis memohon perintah mahkamah untuk melarang 34 orang aktivis masuk ke beberapa kawasan dalam Kuala Lumpur.

“Ini adalah kerana ianya dijalankan tidak mengikut lunas yang betul,” kata SSR.

Ia juga menegaskan semua himpunan akan diuar-uarkan secara rasmi dan secara tertib berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. 

“Kami tidak buat sesuatu perkara secara semberono dan acuh tidak acuh kerana setiap protes kami adalah untuk menggemakan suara dan tuntutan rakyat.” 

Perhimpunan yang dijadual diadakan di Dataran Merdeka hari ini adalah lanjutan bantahan pada 31 Julai lalu, bagi mendesak Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri. 

Perhimpunan bagaimanapun batal selepas Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos. – 21 Ogos, 2021. 

Iklan
Iklan