Ismail Sabri angkat sumpah PM ke-9
Iklan
ISMAIL Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 di Istana Negara, hari ini.
Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong kira-kira pukul 2.30 petang tadi.
Seri Paduka Baginda memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia itu berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Majlis disaksikan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
Upacara pelantikan itu juga dihadiri pimpinan parti politik seperti Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin; dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Turut hadir Presiden MCA Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC M Saravanan; Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Arthur Joseph Kurup; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg, dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Najib Razak
Ahli Parlimen Bera berusia 61 tahun itu dilihat mengenakan baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang keemasan ketika diiringi isterinya Muhaini Zainal Abidin. Anak-anak dan menantu beliau iaitu Nina Sabrina dan suami Jovian Mandagie, Gadaffi, Nashriq dan isterinya Aiman Shaheerah Faeiz, serta Iqbal juga kelihatan.
Pelantikan Ismail Sabri itu dibuat bagi menggantikan perdana menteri kelapan yang hilang majoriti di Dewan Rakyat ekoran penarikan sokongan 15 ahli Parlimen Umno terhadap Muhyiddin. – 21 Ogos, 2021.