Ismail Sabri diminta kekalkan menteri berprestasi cemerlang
Iklan
MENTERI yang mempamerkan prestasi terbaik sewaktu pentadbiran sebelum ini wajar dikekalkan dalam Kabinet baharu Ismail Sabri Yaakob bagi meneruskan kecemerlangan tugas mereka, kata penganalisis dan kumpulan masyarakat sivil.
Salah satu nama yang disebut-sebut penganalisis untuk dikekalkan adalah Khairy Jamaluddin. Menurut mereka, Khairy sudah melakukan tugas yang cemerlang sebagai menteri penyelaras program imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK).
Pentadbiran baru mesti terdiri daripada pembuat dasar yang kompeten agar negara ini fokus memerangi wabak Covid-19, pemulihan ekonomi dan pendidikan.
Pensyarah Universiti Islam Antrabangsa Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata Ismail akan berdepan tempoh yang sukar untuk memilih barisan kabinetnya.
Beliau, bagaimanapun berkata ada beberapa nama baik dari kabinet sebelum ini antaranya Khairy selaku bekas menteri sains, teknologi dan inovasi dan ahli Parlimen Rembau.
“Meskipun menerima tekanan sebelum ini (dalam PICK), beliau berjaya meningkatkan kadar vaksinasi dan programnya berjalan lancar sekarang.
“Saya tidak fikir ada orang lain dapat melaksanakan tugas dengan sebaiknya seperti beliau,” kata Tunku Mohar kepada The Malaysian Insight, sambil menambah Khairy telah meletakkan asas yang kuat untuk program vaksinasi.
“Sesiapa yang menggantikannya harus meneruskan templat yang dibuatnya.”
Bagi Kementerian Kesihatan, Tunku Mohar berkata bekas menteri (Adham Baba) gagal dan harus diganti.
Tunku Mohar bagaimanapun, tidak dapat memikirkan mana-mana individu dari Perikatan Nasional atau Barisan Nasional yang mampu mengisi jawatan itu.
“Untuk kesihatan, kita memerlukan seseorang pembuat dasar yang dapat memahami betapa parahnya masalah ini dan dapat merancang dasar terbaik bagi membendung pandemik ini.
“Adham telah gagal kerana beliau seperti tidak mengetahui apa yang sedang terjadi. Kita mempunyai pakar perubatan yang mampu memberi nasihat kepada kerajaan mengenai tindakan yang tepat.”
Sementara itu, menyentuh mengenai soal pendidikan, Tunku Mohar berkata Radzi Jidin juga telah gagal sebagai menteri pendidikan.
“Saya rasa dia paling baik digantikan dengan Idris Jusoh yang berpengalaman di beberapa kementerian sebelum ini termasuk pendidikan tinggi. Dan beliau cukup cemerlang dalam kementerian yang dipimpinnya.”
Tunku Mohar berkata menteri baru yang memimpin portfolio pendidikan mesti mengambil kira tempoh pembelajaran yang telah hilang di kalangan anak-anak.
“Menteri tidak sepatutnya berpuas hati dengan persekitaran pengajaran dan pembelajaran dalam talian ketika ini.
“Pembelajaran dalam talian bukanlah pengganti terbaik kepada bilik darjah konvensional.
“Tidak banyak yang boleh diharapkan daripada dasar berkaitan pendidikan. Keutamaannya sekarang adalah untuk membuka sekolah.”
Tunku Mohar menambah menteri baru juga harus berusaha untuk mendapatkan vaksin kepada anak-anak berusia antara 12 hingga 18 tahun kerana mereka memerlukan perlindungan ketika sekolah dibuka semula. – 22 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.