Iklan

232 kematian akibat Covid-19, 496 perlu bantuan pernafasan

Aminah Farid3 years ago22nd Aug 2021Berita
Covid-19 sentul virus funeral 02
Jumlah kematian keseluruhan meningkat kepada 14,168 setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos 2021.
Iklan

MALAYSIA merekodkan 232 kematian dalam tempoh 24 jam selepas melepasi angka korban keseluruhan sebanyak 14,000 semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 14,168 setakat ini.

Sementara itu, terdapat 1,026 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 496 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kemasukan ICU dan mereka yang memerlukan bantuan pernafasan menurun dengan ketara sejak seminggu lalu.

Noor Hisham berkata, 18,000 kes pulih hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,278,670.

Sementara itu, sebanyak 43 kes dilaporkan meninggal dunia sebelum tiba di hospital manakala 189 mempunyai sejarah komobiditi.

Terdapat 94 kematian di Selangor, 64 di Johor, 16 di Sabah, 15 di Kuala Lumpur, 11 di Kedah, sembilan di Kelantan, lapan di Pulau Pinang, lima di Perak, masing-masing tiga di Melaka dan Negeri Sembilan, dua di Terengganu , serta masing-masing di Sarawak dan Pahang.

Dari segi kes baru Covid-19, Malaysia merekodkan 19,807 jangkitan hari ini, di mana 16,368 adalah individu yang belum diberikan vaksin atau belum melengkapkan dos mereka.

Noor Hisham berkata, 19,464 kes atau 98.3% adalah dari kategori 1 (tidak bergejala) dan 2 (bergejala ringan).

Selebihnya 343 pesakit berada dalam kategori 3 (pneumonia), 4 (pneumonia dan memerlukan bantuan pernafasan) dan 5 (tahap kritikal) dilaporkan hari ini. – 22 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan