Iklan

Majoriti pelajar Unimas dibimbangi tak dapat balik kampus, kata sumber

Desmond Davidson3 years ago25th Aug 2021Berita
Unimas 2 facebook 240821
Separuh daripada pelajar Unimas bukan berasal dari Sarawak. JPBNS menetapkan individu yang ingin memasuki negeri itu perlu menunjukkan bukti pengambilan dua dos  vaksin Covid-19. – Gambar Facebook, 25 Ogos, 2021.
Iklan

KEBANYAKAN pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dari Semenanjung, Sabah dan Labuan dibimbangi tidak dapat kembali ke kampus bagi meneruskan pengajian pada Oktober kerana tidak memenuhi syarat kemasukan bagi membendung jangkitan Covid-19, kata sumber.

Menurut sumber, pelajar yang pulang ke kampung masing-masing selepas universiti itu diarah tutup susulan penularan Covid-19 mungkin tidak akan dibenarkan masuk semula ke Sarawak jika masih belum lengkap dua dos vaksin.

Perkara itu disahkan sendiri Timbalan Naib Canselor Unimas (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Thomas Kana kepada The Malaysian Insight.

“Kami masih belum tahu berapa ramai jumlah mereka… masih mendapatkan maklumat dan berbincang bagaimana untuk mengatasi masalah ini.

“Peraturan tersebut di luar bidang kuasa universiti dan kami perlu mematuhinya,” katanya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada 20 Ogos lalu berkata individu yang ingin memasuki negeri itu perlu menunjukkan bukti pengambilan dua dos vaksin Covid-19.

Syarat tersebut dikenakan susulan jangkitan kes membabitkan varian Delta yang mendadak di Kuching dan Samarahan.

Individu yang tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19 atas faktor kesihatan dikehendaki mengemukakan surat pengesahan doktor sebagai bukti, kata JPBN.

Selain itu, mereka yang ingin masuk ke Sarawak juga perlu menjalani saringan RT-PCR Covid-19 tiga hari sebelum berlepas.

Kana ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata susulan itu, pihak universiti mungkin akan meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian.

Pihak Unimas bagaimanapun akan mengusahakan supaya pelajar kejuruteraan dan perubatan dapat mengikuti kelas secara fizikal, tambahnya.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, kebanyakan pelajar Unimas di luar Sarawak sudahpun memaklumkan mereka tidak mungkin tidak dapat kembali ke kampus.

“Ada antara mereka berasal dari bandar-bandar besar di Semenanjung seperi Kuala Lumpur dan Seremban.

“Sukar hendak percaya mereka masih belum disuntik vaksin,” katanya.

Unimas terletak di Samarahan, kira-kira 16km dari Kuching. Samarahan dan Kuching diletakkan dalam zon merah Covid-19. – 25 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan