Iklan

Lawan kutip RM92,000 untuk bayar kompaun

Aminah Farid3 years ago25th Aug 2021Berita
Activists arrested during candlelight vigil 20210819 tmihasnoor 004
Antara peserta himpunan aman di Dataran Merdeka bagi memperingati lebih 13,000 rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat Covid-19 yang ditahan polis pada 19 Ogos lalu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Ogos, 2021.
Iklan

SEKRETARIAT Solidariti Rakyat (SSR) membuat kutipan sebanyak RM92,000 untuk membayar kompaun RM62,000 yang dikenakan ke atas 31 peserta perhimpunan di Dataran Merdeka minggu lalu.

Dalam satu kenyataan, penganjur protes Lawan berkata mereka mampu mengutip jumlah itu dalam tempoh sehari. 

“Sekretariat Solidariti Rakyat ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas dukungan rakyat Malaysia yang menyumbang kepada tabung bantuan guaman dan kompaun #Lawan ekoran dari penahanan 31 orang peserta ‘vigil’ aman di Dataran bagi memperingati lebih 13,000 rakyat Malaysia yang telah pergi akibat daripada Covid-19 pada 19 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan. 

Minggu lalu, polis mengeluarkan kompaun RM2,000 seorang kepada 31 peserta terbabit selepas cuba mengadakan perhimpunan itu di Dataran Merdeka di ibu negara. 

SSR berkata sumbangan itu melibatkan transaksi oleh 668 orang purata RM139, manakala ramai yang menyumbang RM10 dan RM20. 

Katanya kutipan itu menunjukkan tuntutan Lawan disokong oleh pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha untuk menggerakkan proses demokrasi di Malaysia dan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat biasa.

“Lanjutan dari hal ini, kami akan memperincikan jumlah perbelanjaan yang telah digunakan bagi memastikan ketelusan serta kejujuran dalam mengendalikan sumbangan yang diamanahkan oleh semua rakyat Malaysia.

“Laporan yang lebih terperinci perbelanjaan untuk himpunan #Lawan dan siri protes kami yang lain akan dikemukakan kepada umum dalam masa terdekat.

“Pihak Sekretariat juga menegaskan bahawa kita akan meneruskan tuntutan #Lawan dari semasa ke semasa bagi memastikan suara rakyat terus bergema sehingga sampai ke telinga para penguasa,” katanya.

Pada Julai lalu, SSR mengadakan beberapa siri protes bagi menuntut perdana menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan kerana gagal menangani krisis Covid-19. – 25 Ogos, 2021.


 

Iklan
Iklan