Iklan

Buruh kanak-kanak hidup ketakutan di ladang di Sabah, kata Suhakam

Hailey Chung Wee Kye3 years ago27th Aug 2021Berita
49932932608 dbc073320b o
Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata dianggarkan 80,000 kanak-kanak pendatang asing tanpa izin, kebanyakan dari Indonesia dan Filipina, tinggal di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2021.
Iklan

UTO, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun bekerja di sebuah kebun kecil 10 jam sehari bersama bapanya di Tawau, Sabah, mengangkat buah yang amat berat, tidak sepadan dengan tubuh kecilnya.

Satu hari dia curi-curi keluar ke rumah ibu saudaranya di kampung berhampiran. Uto ditahan pihak berkuasa, dan tanpa pasport, dia ditahan di depoh tahanan imigresen yang penuh sesak.

Dia ditahan selama sebulan dengan ratusan tahanan lain di pusat tahanan itu.

Uto adalah salah seorang daripada ramai buruh kanak-kanak di Sabah, yang membesar dalam ketakutan terpisah daripada keluarga masing-masing.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menganggarkan 80,000 kanak-kanak adalah pendatang asing tanpa izin, kebanyakan dari Indonesia dan Filipina, tinggal di Sabah.

“Ada kumpulan hak asasi berkata jumlah sebenar mungkin dua kali ganda daripada angka itu,” kata Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata pejabat Suhakam Sabah menerima banyak aduan hampir sama seperti masalah Uto.

Data Suhakam menunjukkan suruhanjaya itu menerima 45 aduan berkenaan tahanan kanak-kanak di pusat tahanan pada 2019, pada 2020 (22 aduan), dan 11 aduan setakat ini untuk 2021.

Jerald berkata kanak-kanak ini cuba untuk bersembunyi bagi mengelak bertembung dengan polis atau imigresen, sering berjalan sendirian di laluan penyeludup atau jalan tikus.

Ada antara mereka yang menyediakan beg sandang lengkap dengan keperluan diri, mana tahu kalau-kalau mereka terpaksa lari dari rumah secara tiba-tiba dan tidur di hutan untuk mengelak serbuan.

“Ramai yang tidak pernah keluar dari kawasan ladang, sesetengahnya di kawasan sangat pedalaman hingga pekerja terpaksa naik ke bukit untuk mendapatkan talian telefon. Dan bagi mereka yang berani keluar, selalunya akan berdepan masalah,” kata Jerald.

Suhakam berkata Sabah bergantung sepenuhnya kepada pekerja warga asing untuk mengisi masalah kekurangan tenaga buruh, terutama bagi sektor perladangan kelapa sawit.

Pekerja asing ini tinggal di ladang yang sama bergenerasi lamanya, menyebabkan wujudnya tenaga kerja yang sedia ada.

Sabah bergantung sepenuhnya kepada pekerja warga asing untuk mengisi masalah kekurangan tenaga buruh, terutama bagi sektor perladangan kelapa sawit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2021.

“Bila ada seorang pekerja bersara atau meninggal dunia, akan ada ahli keluarganya yang lain mengambil alih tugas itu bagi membolehkan mereka terus menggunakan rumah disediakan syarikat, di mana ia biasanya hanya pondok tanpa bekalan air dan bekalan elektrik terhad.

“Ramai kanak-kanak tidak ada pilihan. Mereka lahir di ladang itu, bekerja di situ dan kadang-kadang mati di situ.

“Batu nisan dan salib dilihat menjadi tanda ada perkuburan di kawasan ladang berhampiran pokok kelapa sawit,” kata Jerald.

Tiada hak asasi

Tanpa sijil kelahiran, kanak-kanak ini secara asasnya adalah tanpa kewarganegaraan dan tidak ada akses terhadap hak asas seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Dan tanpa laluan untuk mendapat taraf warganegara, mereka berdepan risiko yang tinggi untuk dieksploitasi.

“Kanak-kanak perempuan yang bekerja di ladang di pedalaman terdedah kepada penderaan seksual, dan remaja hamil serta perkahwinan adalah perka biasa.

“Ramai pekerja muda di ladang kelapa sawit tidak ada pengetahuan dan pemahaman tentang kesihatan reproduktif,” kata Jerald.

Katanya, pakar berkata tidak cukup nutrisi dan pendedahan kepada bahan kimia dan toksik setiap hari menjejaskan kesihatan dan perkembangan buruh kanak-kanak.

“Banyak ladang di Sabah ada klinik asas, tetapi ia mungkin hanya boleh digunakan pekerja sepenuh masa.

“Kanak-kanak warga asing biasanya terlalu takut minta bantuan perubatan di kampung atau bandar, walaupun dalam keadaan kecemasan,” katanya.

Pada Jun, Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS) mengumumkan geran AS$5 juta disediakan untuk menangani masalah penderaan dan buruh paksa kanak-kanak di ladang kelapa sawit Malaysia dan industri pakaian.

Ia susulan tiga syarikat Malaysia – Top Glove Corp Bhd, Sime Darby Plantation dan FGV Holdings dikenakan larangan import oleh AS berhubung dakwaan penggunaan buruh paksa dalam operasi mereka.

Syarikat berkenaan bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu berkata ia melakukan penambahbaikan ketara dalam menyelesaikan isu itu.

Pendapatan Top Gloves juga dilaporkan terjejas. – 27 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan