Iklan

Kidzone Mentari, 'syurga' anak-anak flat

Melati A. JalilMuzliza Mustafa7 years ago21st Jan 2018Berita
Kidzone mentari 160118 tmiseth 05
Hasil seni kanak-kanak ini akan dipamerkan di dinding. Walaupun bila tiada kerja sekolah, mereka biasanya akan berkumpul di pusat itu untuk bersama rakan yang lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Januari, 2018.
Iklan

BAGI kanak-kanak yang tinggal bersesak-sesak dengan keluarga di unit perumahan awam kos rendah yang luasnya 650 kaki persegi, ada meja untuk buat kerja sekolah dan ada ruang yang sunyi untuk baca buku adalah satu kemewahan.

Mewah juga kalau ada ruang untuk boleh bermain dengan selamat dan melekatkan hasil seni di dinding dengan bangga.

Bagi penduduk di flat Desa Mentari di PJS6 Petaling Jaya, yang terletak di pinggir Lebuh Raya Persekutuan, hati mereka tenang apabila tahu ada ruang selamat tempat anak-anak mereka boleh dapat bimbingan tuisyen atau diselia oleh orang dewasa kalau ada masalah sosial – sesuatu yang lazim dialami di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Terletak di tingkat 8 Blok Desa Mentari 5, Kidzone Mentari beroperasi di unit yang disewakan oleh pemiliknya kepada organisasi bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kebajikan Suriana Malaysia. NGO itu bekerjasama dengan penduduk untuk menjadikannya sebagai pusat kegiatan kanak-kanak yang dibuka antara pukul 10 pagi hingga 8 malam, Isnin hingga Sabtu.

Kebanyakan ibu bapa itu terdiri daripada mereka berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 atau RM4,000, yang bekerja berjam-jam lamanya dan tidak dapat menyediakan penjagaan sewajarnya selepas waktu persekolah untuk anak-anak mereka, atau mempunyai persekitaran kondusif di rumah.

“Kebanyakan ibu mereka adalah suri rumah tetapi anak-anak lebih senang datang ke sini dan membuat kerja sekolah kerana sesetengahnya mempunyai ramai adik-beradik di rumah,” kata sukarelawan Blok 5 dan Kidzone, Kamsiah Mohammed memberitahu The Malaysian Insight.

Sekitar 250 kanak-kanak berdaftar dengan pusat itu di mana mereka boleh membuat aktiviti seni, membaca daripada koleksi buku dan bermain karom dan congkak, serta melakukan kerja sekolah dengan bimbingan. Terdapat sukarelawan bertugas sama ada untuk membantu kerja sekolah atau kanak-kanak bermasalah.

Hasil seni kanak-kanak di situ akan dilekatkan di dinding dan walaupun tiada kerja sekolah, mereka biasanya akan berkumpul di pusat itu untuk bersama rakan yang lain.

“Mereka boleh datang bermain asalkan ada seseorang memantau aktiviti mereka. Dan jika ibu bapa tidak boleh datang menjemput mereka, kami akan ada seseorang untuk menghantar mereka pulang ke rumah,” kata kakitangan sepenuh masa P Palaniandy.

Pesara berusia 60 tahun itu berkata, kanak-kanak dari blok lain di dalam kelompok Desa Mentari, kediaman bagi kira-kira 10,000 penduduk, juga datang ke pusat itu, yang terpaksa menolak penerimaan lebih banyak pendaftaran disebabkan kapasiti yang berlebihan.

Pusat itu popular di kalangan ibu bapa di komuniti flat kerana ia berjaya membendung anak-anak mereka daripada merayau di sekitar kejiranan tanpa pengawasan, kata Kamsiah, yang juga ahli jawatankuasa kumpulan Blok 5.

“Kami juga mempunyai kanak-kanak yang tidak bersekolah kerana tidak mempunyai kerakyatan, ibu bapa mereka adalah orang Indonesia.

“Bagi kanak-kanak yang sekolah, mereka akan datang ke sini selepas sekolah atau sebelum ke sekolah bagi yang bersekolah sesi petang,” katanya.

Pengerusi penduduk Blok 5, Mohd Zaini Salleh (kiri) dan Pengarah Eksekutif Suriana, Scott J. Wong ketika ditemui di flat Desa Mentari, Sunway. Inisiatif ruang selamat yang diwujudkan banyak membantu menyelesaikan masalah sosial di kalangan kanak-kanak di flat itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Januari, 2018.

Ruang selamat untuk kanak-kanak

Kidzone Mentari bermula pada November 2016 selepas Suriana, mencari komuniti flat kos rendah untuk melancarkan inisiatif ruang selamat untuk kanak-kanak.

NGO itu berjumpa pengerusi kumpulan penduduk Block 5, Mohd Zaini Salleh, yang memberi sokongan penuh. 

Program ini juga menerima maklum balas yang baik daripada ibu bapa dan sangat berjaya sehingga penduduk flat berdekatan juga ingin menghantar anak-anak mereka di sana.

“Kami tidak dapat menerima mereka kerana tidak mampu menampung jumlah yang lebih ramai. Terdapat juga kekurangan sukarelawan dan pembiayaan,” kata Zaini.

Pengarah eksekutif Suriana Scott Wong berkata, pusat itu menelan kos RM8,000 sebulan bagi menjalankan aktiviti, meliputi pembayaran kepada guru dan kakitangan sukarela, sewa, penyelenggaraan, bahan dan peralatan untuk pelajaran muzik, seni, permainan dan tuisyen.

NGO itu berharap dapat membuka lima lagi pusat di flat kos rendah lain, katanya.

Pusat ini berjaya menyelesaikan beberapa perkara dengan hanya menyediakan ruang selamat bagi kanak-kanak dan orang dewasa untuk bersama mereka. 

Bukan sahaja kanak-kanak, ibu bapanya yang tidak dapat menanggung kelas tuisyen, mendapat bimbingan kerja sekolah, tetapi mereka yang mempunyai tingkah laku bermasalah atau mungkin menderita didera dapat dikenal pasti dan dibantu.

“Di kalangan masyarakat miskin bandar terdapat masalah seperti gangsterisme, ketagihan dadah yang dengan mudah mempengaruhi kanak-kanak.

“Guru-guru kita dilatih untuk mengenal pasti isu-isu tingkah laku dan tanda penderaan fizikal, jadi apabila kita melakukan terapi seni seperti lukisan, kita akan mencari tanda-tanda seperti itu,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Beliau berkata kes mangsa buli berusia 12 tahun itu menunjukkan kepada realiti masyarakat dan apa yang boleh berlaku jika mereka tidak mempunyai ruang selamat atau sihat untuk menyalurkan tenaga mereka.

“Terdapat gadis yang menjadi ‘ketua’ di kawasan itu dan gadis ini dipukul oleh mereka. Ya, anda akan terkejut perkara seperti ini berlaku.

“Ia adalah satu proses yang panjang. Saya juga bercakap dengan beberapa gadis yang menjadi ahli kumpulan itu. Mereka tahu berkelakuan baik apabila bersemuka.”

Thanaletchumy juga berkata dia menemui kanak-kanak yang sering melepaskan kemarahan mereka terhadap kanak-kanak lain. Dengan lebih kerap berbual, dia mendapati mereka berasa sangat dikawal ibu bapa ketika di rumah dan tidak memberi ruang untuk bermain.

Kebanyakan kanak-kanak masih akan datang ke Kidzone Mentari di Sunway, Selangor bagi mengisi masa terluang selepas sesi persekolahan walaupun tiada kerja sekolah untuk dibuat. – Gambar The Malaysian Insigh oleh Seth Akmal, 21 Januari, 2018.

Sokongan pendidikan untuk ibu bapa miskin

Ibu bapa seperti Umadevi Veloo, 44, tidak mempunyai pilihan lain tetapi bergantung kepada pusat itu untuk menyediakan pendidikan tambahan bagi anak-anaknya yang bersekolah, berumur lapan dan 10 tahun.

Ibu kepada lima anak itu tidak bekerja kerana perlu menjaga suami yang menderita kanser.

“Dia prlu dibedah tetapi kami tidak mempunyai wang. Dia kadang kala masih bekerja di sekitar flat apabila kuat sedikit dan mendapat pendapatan sekitar RM30 hingga RM40. Kami juga menerima RM250 daripada Jabatan Kebajikan tetapi tidak mencukupi,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Kidzone.

Sewa rumahnya sudah dua bulan tertunggak dan begitu juga yuran sekolah bagi tiga anaknya. Jiran membantu keluarga itu dengan menyumbang sedikit makanan dan perbelanjaan kecil.

Sekurang-kurangnya anak-anaknya mempunyai tempat di mana orang dewasa boleh membimbing mereka dengan pelajaran sekolah secara percuma.

“Mereka tidak boleh berbahasa Melayu atau Inggeris pada mulanya tetapi mereka sekarang bertambah baik sekarang,” katanya.

Bagi anak-anak Solehah, warga Indonesia berusia 36 tahun, Kidzone adalah satu-satunya sumber pendidikan kepada dua anaknya, Agus, 9, dan Puteri yang berusia 10 tahun. 

Anak-anaknya dilahirkan di sini dan mempunyai sijil kelahiran tetapi bukan warganegara kerana ibu bapa mereka adalah pendatang.

“Mereka tidak boleh mendaftar ke sekolah biasa. Di sini sekurang-kurangnya mereka dapat mempelajari asas-asas membaca dan menulis,” kata Solehah.

Seorang lagi penghuni flat, Maizatul Akma Samsudin, 37, menghantar dua orang anaknya berusia tujuh dan 10 tahun ke pusat itu apabila ada masa lapang dan cuti sekolah kerana tidak mahu mereka berkeliaran di luar, walaupun terdapat taman permainan berhampiran.

“Dengan masalah sosial di sekitar kawasan flat ini, saya tidak berani membiarkan mereka keluar tanpa pengawasan orang dewasa,” katanya. – 21 Januari, 2018.
 

Iklan
Iklan