Iklan

Pihak berkuasa lambat didik Orang Asli mengenai vaksinasi, kata aktivis

Aminah Farid3 years ago28th Aug 2021Berita
Orang asli vaccine 20210619 tmihasnoor 002
Ketua kampung perlu dibabitkan bagi menyedarkan mengenai kepentingan vaksinasi kepada Orang Asli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2021.
Iklan

PENINGKATAN jangkitan Covid-19 baru-baru ini dalam kalangan masyarakat Orang Asli adalah disebabkan kelewatan meningkatkan kesedaran mereka mengenai koronavirus dan pentingnya vaksinasi, kata aktivis yang bekerja dengan penduduk asli Semenanjung Malaysia.

Tijah Yok Chopil yang tinggal di Kampung Kudung di Bekok, Johor, menyatakan kebimbangan mengenai vaksinasi tidak dapat ditangani dengan cepat dan hanya selepas wabak bertambah buruk tahun ini di perkampungan Orang Asli, Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) dan pasukan kesihatan datang ke kampung untuk memberi didikan dan memacu kesedaran.

Baru-baru ini, Centre of Orang Asli Concerns (COAC), pertubuhan bukan kerajaan bagi Orang Asli, melaporkan jangkitan Covid-19 dalam komuniti meningkat secara pesat dari 287 kepada 3,293 dalam jangka masa satu bulan dari tempoh 20 Julai hingga 20 Ogos.

Sehingga 20 Ogos, dianggarkan sejumlah 3,293 Orang Asli dijangkiti Covid-19, sementara 49 orang meninggal dunia akibat virus itu.

Sebanyak 32 kluster dikesan dalam komuniti dan menular di beberapa negeri. Kebanyakan perkampungan Orang Asli, kira-kira 60 keseluruhannya, juga ditempatkan di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD).

Berbeza dengan tahun lalu ketika wabak itu bermula, hanya sedikit atau tidak ada kes Covid-19 dikesan di kampung Orang Asli, dan pihak berkuasa tidak menumpukan perhatian kepada usaha kesedaran di situ. Sebilangan besar program kepada Orang Asli ketika itu membabitkan penyerahan bakul makanan untuk membantu mereka ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Bagi saya, apa yang terjadi sekarang adalah akibat kesedaran yang tidak mencukupi mengenai bahaya virus ini,” kata Tijah.

Sebilangan besar usaha untuk menyebarkan kesedaran mengenai virus itu dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan, doktor sukarela dan aktivis Orang Asli.

Kaedah yang digunakan membabitkan platform dalam talian kerana pergerakan terbatas sepanjang pandemik disebabkan PKP tetapi usaha itu terhalang kerana kurangnya akses internet dan peranti mudah alih buat Orang Asli.

“Sayangnya, walaupun ada usaha untuk mendidik Orang Asli, masih ramai antara mereka yang takut terhadap vaksinasi.

“Mereka juga tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP), sebaliknya mereka mengunjungi kampung lain dan menyebabkan jangkitan Covid-19 di sana,” kata Tijah.

Yusri Ahon dari Jaring Orang Asal SeMalaysia (JOAS) menekankan pentingnya menggunakan Orang Asli sendiri sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran.

Katanya, program rasmi kerajaan yang dilihat di kampung Orang Asli setakat ini adalah untuk tujuan vaksinasi kebangsaan.

Namun, tidak ada usaha yang dilakukan untuk mendidik penduduk desa mengenai vaksinasi.

“Program vaksinasi harus membabitkan Tok Batin (ketua desa) dan jawatankuasa kampung untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya vaksinasi.

“(Pemimpin tempatan harus digunakan) untuk mengajar mengenai SOP serta pemantauan dalaman dan pengendalian lalu lintas masuk dan keluar dari kampung,” kata Yusri.

Namun, dia mengatakan pihak berkuasa kesihatan melakukan tugas dengan baik untuk menjaga mereka yang dijangkiti Covid-19.

Dr Colin Nicholas dari COAC berkata, dalam memerangi Covid-19 di perkampungan Orang Asli, pihak berkuasa mesti melayan mereka dengan baik selain menganggap mereka sebagai rakan kongsi.

Sebagai contoh, kuarantin mesti diperjelaskan sebagai cara untuk membantu menyelesaikan masalah dan bukannya disamakan dengan penjara.

“Ini harus dianggap sebagai tindak balas sosial terhadap situasi perubatan sebenarnya,” kata Nicholas.

JAKOA juga harus menubuhkan jawatankuasa perantara dengan Orang Asli di pusat kuarantin dan perkampungan PKPD untuk menangani masalah setempat seperti bekalan, pergerakan dan komunikasi.

Orang Asli harus dibenar dan didorong untuk menggunakan ubat dan amalan tradisional mereka sendiri bagi rawatan batuk dan selesema atau penyakit seumpamanya, kata Nicholas.

“Banyak faktor perlu dipertimbangkan dan diambil tindakan. Ringkasnya, lebih banyak yang boleh dan perlu dilakukan.

“Khususnya, kami memerlukan SOP khusus untuk kawasan Orang Asli selain prosedur umum,” katanya.

Tinjauan COAC mengenai Covid-19 di kampung Orang Asli bagaimanapun menunjukkan terdapat peningkatan kadar vaksinasi sebanyak 337% dalam kalangan masyarakat. Pada masa ini, kira-kira 53% daripada jumlah 144,180 Orang Asli yang layak mendapat vaksinasi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Nicholas berkata, orang yang tepat untuk mempengaruhi Orang Asli bagi mengambil vaksin bukanlah pegawai kerajaan tetapi ketua masyarakat mereka sendiri termasuk dukun.

“Kita perlu menukar (kumpulan ini), dan membenarkan mereka mempengaruhi penduduk kampung.

“Pemimpin Orang Asli dan orang berpengaruh atau berwibawa adalah yang paling berpengaruh di kampung, sementara orang kampung biasa kebanyakannya buta huruf dan berpegang teguh kepada tradisi atau pendapat orang tua mereka,” katanya. – 28 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan