Jaga rutin, rancang aktiviti elak tekanan ketika kawalan pergerakan
Iklan
MENJAGA rutin adalah salah satu kaedah penting untuk bertahan dalam tempoh kawalan pergerakan kepada ibu bapa yang mempunyai anak di rumah, kata beberapa ibu.
Walaupun dengan sekatan pergerakan longgar ketika ini, namun sebahagian ibu bapa masih bimbang untuk membawa anak-anak ke luar berikutan jumlah kes Covid-19 masih tinggi iaitu lebih 19,000 setiap hari.
Ia ditambah dengan kanak-kanak tidak mendapat vaksin.
Syafieqa Satria, ibu kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun ketika ditemui The Malaysian Insight berkata menjaga rutin diri dan anak ketika ini adalah penting bagi memastikan mereka kekal aktif fizikal dan mental.
“Pada hari bekerja, kami berdua fokus pada kerja dan pembelajaran dalam talian. Kami mempunyai waktu bermain pada sebelah petang ketika ke luar tetapi hanya di perkarangan rumah.
“Saya berasa sangat penting bagi orang dewasa dan anak-anak meluangkan masa di luar rumah kerana kita semua terkurung terlalu lama dan ini boleh memberi tekanan perasaan.
“Berjemur di bawah matahari seketika dan berpeluh dengan anak di luar boleh memberi sedikit kelainan,” katanya.
“Kadang-kala pada hujung minggu kami akan cuba melakukan aktiviti seni dan kraf. Saya akan cuba mencari sesuatu di Shopee untuk aktiviti hujung minggu kami, seperti lukisan tanah liat, teka-teki atau mungkin beberapa aktiviti sains,” katanya.
Namun, Syafieqa mengakui anaknya tidak bergaul dengan rakan-rakan dan juga sesiapa pun yang bukan tinggal serumah atas alasan keselamatan.
“Saya cukup paranoid dengan jumlah kes yang meningkat, jadi kami benar-benar cuba untuk membatasi pergaulan dengan orang lain yang tidak tinggal serumah,” katanya.
Sementara itu, Siti Marliza ibu kepada tiga anak perempuan berusia 21, 19 dan 16 tahun tidak mempunyai perancangan aktiviti yang banyak buat anak-anaknya kerana mereka sudah cukup dewasa untuk menguruskan waktu belajar dan masa kendiri.
Tetapi seluruh keluarga itu berhati-hati tentang pergaulan sosial dan keluar rumah malah ketiga-tiga anak perempuannya memilih untuk bersenam di rumah.
“Anak gadis saya bersenam setiap hari di rumah untuk menjaga tahap kecergasan mereka.”
Siti Mariza berkata anak bongsunya tidak akan ke sekolah walaupun selepas dibuka semula pada Oktober.
“Sangat berisiko untuk melepaskannya kerana beliau tidak divaksinasi,” katanya.
Awal bulan ini, Gabungan Pendidikan Global Unesco melaporkan sekolah di Malaysia ditutup sehingga 41 minggu pada waktu itu. – 29 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini