Angka kematian Covid-19 lepasi 16,000, kata KP kesihatan
Iklan
MALAYSIA melaporkan 285 kematian susulan Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 16,087, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Beliau turut memberitahu ada 267,997 kes aktif, selepas 20,597 jangkitan baharu dilaporkan hari ini.
Daripada kes aktif itu, 1,009 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) di seluruh negara, 477 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada jumlah kematian itu, 51 disahkan meninggal dunia sebelum tiba ke hospital dan 205 mempunyai masalah kesihatan.
Mengikut negeri, terdapat 110 kematian di Selangor, Johor (50), Sabah (46), Kuala Lumpur (22), Pulau Pinang (16), Perak (8), Terengganu dan Kelantan (7), Kedah (5), Negeri Sembilan dan Pahang (4), Perlis, Melaka dan Sarawak (2).
Noor Hisham berkata, jumlah pesakit yang pulih hari ini adalah 20,845 menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh di seluruh negara kepada 1,422,005. – 29 Ogos, 2021.