4,928 kes Covid-19 babit penerima 2 dos vaksin, 34 di ICU
Iklan
KEMENTERIAN Kesihatan mencatatkan 4,928 jangkitan baharu Covid-19 membabitkan penerima lengkap dua dos vaksin hari ini, menunjukkan penurunan berbanding 5,252 semalam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata, daripada jumlah itu, 34 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU).
Daripada jumlah ini, Noor Hisham berkata, 15 pesakit berada dalam Kategori 5 dan memerlukan alat bantuan pernafasan.
Seramai 19 lagi berada dalam Kategori 4 di mana pesakit mengalami radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.
Sementara itu, 52 pesakit Kategori 3 berada di bawah rawatan dan pemerhatian hospital.
Kebanyakan pesakit yang sudah lengkap divaksin merupakan kes ringan, oleh itu sebahagian besar kes baharu hari ini berada dalam kategori satu asimtomatik (2,430 kes) dan kategori dua simptomatik ringan (2,412 kes).
Bagaimanapun Noor Hisham berkata, sebahagian besar daripada 20,579 kes baharu hari ini melibatkan golongan yang belum menerima vaksin.
Sebanyak 15,651 atau 76.1% kes positif hari ini melibatkan mereka yang belum divaksin atau hanya menerima satu dos vaksin Covid-19.
Terdapat 7,020 kes dalam Kategori Satu, 8,262 di Kategori Dua dan 170 di Kategori Tiga.
Bagi Kategori Empat terdapat 62 kes dan 137 pada Kategori Lima.
Setakat ini, 61.1% (14.3 juta) populasi dewasa di Malaysia sudah menerima dos kedua vaksin Covid-19 dan 81.5% (19.1 juta) menerima suntikan dos pertama. – 29 Ogos, 2021.