Iklan

'Malaysia untuk rakyat Malaysia' usaha berterusan, kata belia

Hailey Chung Wee Kye3 years ago31st Aug 2021Berita
58th merdeka kuala lumpur epa 310815
Aktivis berkata impian untuk mewujudkan 'Malaysia untuk rakyat Malaysia' masih sedang berjalan kerana negara masih bergelut untuk menerima semua kaum dan kelas sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2021.
Iklan

SAMBUTAN Hari Merdeka tahun ini lebih sunyi kerana pelbagai faktor tetapi paling utama dalam fikiran aktivis muda adalah kegagalan kerajaan membendung perkauman, yang membolehkan hak masyarakat bersuara dan pengendalian pandemik Covid-19 yang kurang cekap.

Aktivis memberitahu The Malaysian Insight, Hari Merdeka ke-64 kali ini tidak lebih sekadar peringatan tahunan kepada semua rakyat untuk terus mengejar kebebasan.

Aktivis berkata impian untuk mewujudkan “Malaysia untuk rakyat Malaysia” masih sedang berjalan kerana negara masih bergelut untuk menerima semua kaum dan kelas sosial.

Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) Liau Pin Chun berkata, negara ini sudah lama terjebak dalam ketaksuban, perkauman dan konservativiti.

“Konsep ‘Malaysia untuk Rakyat Malaysia ‘masih jauh daripada jangkauan,” kata aktivis pelajar berusia 21 tahun itu kepada The Malaysian Insight.

“Perkauman bukan hanya dipromosikan ahli politik tetapi juga berakar umbi di kalangan masyarakat, baik yang bersifat struktural maupun bukan.

“Kurangnya ciri bacaan dan pemikiran kritis di kalangan rakyat Malaysia membuatkan masyarakat menentang idea progresif.”

Liau juga meluahkan kebimbangan yang sebahagian penduduk terus bersama pihak berkuasa dalam mengekang kebebasan sivil atas nama “mengawal pandemik”, merujuk kepada tindakan keras pihak berkuasa terhadap demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh kumpulan belia.

Dalam mempertahankan demonstrasi jalanan, satu daripada penganjur utama, Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berkata gerakan #Lawan tidak akan diadakan jika Malaysia dilihat mempunyai masa depan yang terjamin.

Jurucakapnya, Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar, individu penting di sebalik sekurang-kurangnya tiga demonstrasi jalanan, berkata pergerakan itu muncul ketika orang ramai marah atas ketidakcekapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Dorongan memperjuangkan perubahan terletak pada kenyataan bahwa ada sesuatu yang kurang dan perlu diperbaiki,” katanya.

“Setiap hari, kerajaan melakukan apa sahaja untuk mengurangkan semangat juang, semangat Merdeka yang sebenarnya, melalui undang-undang dan polisi tidak demokratik.”

Asraf menggesa rakyat Malaysia agar terus mendesak kerajaan supaya sentiasa berkhidmat kepada orang awam.

Pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri menggesa agar belia Malaysia lebih optimis dan realistik.

Qyira memimpin gerakan anak muda yang memperjuangkan reformasi demokratik sejak 2016.

Pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri menggesa agar belia Malaysia lebih optimis dan realistik. – Gambar The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2021.

“Kita kini melalui salah satu tempoh kemelesetan terburuk dan pengangguran.

“Tetapi melihat cara lebih banyak belia berbicara mengenai politik atau dasar, saya rasa kita berada di jalan yang betul.

“Negara ini adalah apa yang kita jadikan. Demokrasi adalah usaha yang sedang berjalan dan memerlukan usaha berterusan untuk memastikannya seimbang,” katanya.

Belia lain di seluruh negara juga mempunyai sentimen sama yang diluahkan oleh aktivis.

Joyce Ong dari Perlis, berkata sukar untuk merasai semangat Merdeka dengan kemelut politik semasa.

Penulis teknikal berusia 26 tahun itu berasa tidak kena untuk merayakan Hari Merdeka ketika begitu ramai yang bergelut untuk mencari sumber pendapatan selepas dilanda krisis Covid-19 dan ekonomi.

“Paling tidak, mungkin kita boleh menjadikan hari ini sebagai untuk mengingati dan menghormati nyawa yang hilang,” katanya.

Di Borneo pula, Ronald Lim Vun Kai berkata istilah “Merdeka” sudah dicemari.

“Nampaknya ini adalah satu penipuan terhadap rakyat, terutama kepada rakyat Malaysia Timur,” kata arkitek berusia 30 tahun itu.

Beliau berasa kecewa dengan layanan diterima penduduk Sabah dan Sarawak, negeri yang sering diketepikan peluang dan pembangunan.

Bagaimanapun, Lim memujuk dirinya dengan: “Jika ia tidak baik, itu bukan pengakhirannya.”

“Tidak salah berharap Malaysia dapat menjadi negara terkemuka di dunia suatu hari nanti,” tambahnya.

Amanda Lee Shi Ying berharap berlakunya perubahan besar pada pilihan raya akan datang. – Gambar The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2021.

Amanda Lee Shi Ying dari Johor, berkata masih banyak kerja perlu dilakukan agar Malaysia menjadi negara yang progresif.

“Untuk maju, negara kita harus berani untuk keluar dari cara lama, mengatasi ketidaksamaan dan menerima perubahan yang akan menguntungkan negara,” katanya.

Pendidik berusia 27 tahun itu berkata masa depan tanah airnya masih suram tetapi menambah harapan boleh dibentuk jika masing-masing terus mendorong perubahan.

Isaac Pereira dari Selangor berkata peristiwa dilalui Malaysia dalam tempoh 18 bulan kebelakangan ini tidak begitu menggalakkan.

“Satu-satunya perkara yang saya harapkan untuk negara kita lagi adalah perubahan ketara berlaku pada pilihan raya akan datang,” kata lulusan undang-undang berusia 24 tahun itu. – 31 Ogos, 2021.

Iklan
Iklan