Pakatan mahu kukuhkan pembangkang, bantu negara keluar kemelut
Iklan
PAKATAN Harapan (PH) sedia membantu kerajaan untuk membawa Malaysia keluar daripada pandemik Covid-19 dan fokus meningkatkan ekonomi rakyat, kata pemimpin gabungan itu.
Bagaimanapun pada masa sama, PH mahu mengukuhkan blok pembangkang sebagai persiapan untuk pilihan raya umum akan datang, kata mereka.
Naib Presiden PH Salahuddin Ayub berkata PH berhasrat menyatukan semua parti pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melalui gagasan kerjasama “khemah besar” parti pembangkang.
“Kita akan kukuhkan PH serta bantu rakyat dan negara perangi Covid-19 dan pulihkan ekonomi negara.
“Kita jelas dengan objektif kita kerana pilihan raya umum mungkin dah dekat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kita akan memainkan peranan untuk membantu apa yang terdaya bagi kita atas dua perkara itu,” tambahnya.
Pada 25 Ogos, tiga ketua parti dalam PH mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri yang baru dilantik Ismail Sabri Yaakob membincangkan persefahaman untuk bekerjasama demi rakyat.
Sebelum pertemuan itu, Majlis Presiden PH memaklumkan pengerusi PH Anwar Ibrahim akan bertemu dengan pemimpin utama semua parti pembangkang untuk menjemput mereka menyertai atau bekerjasama dengan gabungan itu.
Sehari selepas itu, ia mengumumkan parti di Sabah, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyertai PH.
Salahuddin menjelaskan PH sudah belajar daripada episod pengkhianatan pada hujung Februari 2020 dan kali ini mahu memastikan blok pembangkang masuk gelanggang PRU15 kukuh seperti semasa pilihan raya umum lalu.
“Kita akan pastikan tidak lagi berlaku ‘permainan angka”, kita terus perkukuh PH dan nak jayakan konsep khemah besar kita sekukuh bagaimana kita PH hadapi PRU14 dulu dan masuk pilihan raya. Itu jelas.
“Kita tak nak lagi bermain dengan politik yang terlalu banyak.
“Rakyat kena faham sejak Mac 2020 kita sudah berusaha dengan apa cara sekali pun untuk kembalikan mandat rakyat, kembalikan PH berkuasa tapi kita tak berjaya kerana pengkhianatan terus berlaku, tetapi itu tanggungjawab yang kita tunaikan… ke hadapan kita fokus pilihan raya umum,” katanya.
Bantu kerajaan
Dalam pada itu, pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata PH sedang berbincang untuk membantu kerajaan menyelesaikan kemelut akibat penularan Covid-19.
Kerjasama itu pembangkang dan kerajaan bagaimanapun terhad dalam isu-isu berkaitan pandemik dan meredakan suhu politik, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai.
“Sebarang persefahaman tidak bermaksud kami sertai kerajaan tapi untuk meredakan suhu politik, stabilkan keadaan supaya fokus selesai Covid-19 dapat diutamakan.
“Fokus PH dalam jangka masa pendek adalah untuk bersama selesaikan masalah pandemik Covid-19, menghidupkan ekonomi dan memastikan kebajikan rakyat terbela,” katanya.
PH bagaimanapun katanya tidak akan sesekali meninggalkan tugas sebagai ejen semak dan imbang kepada kerajaan.
“Kita tidak akan tinggalkan tugas dan tanggungjawab, amanah pembangkang yang setia kepada Tuanku Agong, terutama dalam tugas di Parlimen untuk memastikan setiap gerak langkah dan ikhtiar kerajaan disemak dan diimbang,” tambahnya.
Titah tuanku
Sementara itu, penganalisis politik melihat usaha kerjasama antara pembangkang dan kerajaan dapat memulihkan keadaan negara, selepas ia dititah Yang di-Pertuan Agong.
Semuanya hasil gesaan Agong, bukan inisiatif (Perdana Menteri) Ismail Sabri (Yaakob) atau pembangkang, tapi gesaan Agong disambut kedua-dua pihak,” kata pensyarah politik di Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi.
Pensyarah politik di Universiti Utara Malaysia Ahmad Martadha Mohamed pula berkata, sekiranya PH bersetuju membantu kerajaan, ia akan memberikan imej positif kepada pembangkang.
“Persetujuan kerjasama tidak akan kurangkan imej pembangkang bahkan ia menunjukkan PH matang dan berada pada tahap tinggi.
“Mereka juga akan sahut titah tuanku. Ini akan jadi imej positif kepada pembangkang,” katanya.
Namun katanya, pembangkang perlu berbincang sesama rakan komponen dengan lebih serius dan lihat bentuk kerjasama yang boleh mereka berikan ketika menerima jemputan kerjasama daripada kerajaan.
“Apa sahaja strategi politik pembangkang nak buat boleh tunggu sampai Parlimen dibubar dan bersaing dalam pilihan raya umum,” katanya.
Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar PH perlu tumpu untuk menang PRU15 selepas diberi peluang untuk membuktikan mereka mempunyai sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan.
Beliau melihat usaha untuk mengukuhkan PH atau membentuk pakatan lebih besar bersama parti pembangkang lain adalah langkah yang terbaik.
“Peluang untuk PH buktikan ada sokongan majoriti sudah berlalu. Mereka hanya perlu tumpu pilihan raya dan agihan kerusi sesama komponen,” katanya. – 1 September, 2021.