Bersatu setuju kerajaan buat perjanjian dapat sokongan pembangkang, kata Hamzah
Iklan
BERSATU dijangka bersetuju sekiranya kerajaan melaksanakan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) antara parti politik dalam negara, kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin.
Bersatu percaya perjanjian itu akan membentuk landskap baru politik yang mampu memberikan kestabilan kepada negara, katanya, yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional.
“Saya yakin, bukan sahaja saya sebagai setiausaha agung, saya yakin Presiden Bersatu (Muhyiddin Yassin) akan ambil ini sebagai sesuatu yang baik bagi masa depan negara.
“CSA sesuatu yang diumumkan mantan perdana menteri (Muhyiddin). CSA itu sesuatu yang baik dalam mana nak menentukan kestabilan politik dalam negara.
“Kita tak mahu cerita haru biru kata kerajaan jatuh… ini boleh sebabkan tak stabilnya bukan sahaja politik, tapi juga program nak bangunkan negara,” katanya kepada pemberita di Putrajaya.
Hamzah membayangkan pendirian Bersatu itu ketika pada sidang media selepas melapor diri di Kementerian Dalam Negeri, selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Hamzah yang menjawat menteri dalam negeri dalam pentadbiran Muhyiddin dikekalkan di portfolio itu oleh Ismail Sabri.
Ahli Parlimen Larut berpendapat langkah menjalin CSA antara kerajaan dan pembangkang juga bermakna parti politik akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu suhu politik tanah air diredakan.
“Kalau ini benar-benar berlaku apa salahnya jadikan ini langkah ke hadapan bagi landskap politik baru.
“Semua ahli Parlimen duduk bersama secara inklusif bincangkan kepentingan rakyat dan negara, terutama bila nak selesaikan masalah Covid-19 dan melihat pembangunan seterusnya dari sudut sektor ekonomi boleh dibangunkan bersama.
“Ini langkah ke hadapan ahli Parlimen berbincang ke arah lebih baik dan beri perhatian penuh, segala pemikiran yang baik harus kita beri dan tumpukan bukan hanya kata menuduh hasut… sesuatu yang sudah jadi perkara muak dalam negara,” katanya.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Pakatan Harapan mahu tawaran reformasi yang sama seperti yang dicadangkan oleh Muhyiddin untuk mereka memberi sokongan yang diperlukan oleh Ismail Sabri.
Muhyiddin mengemukakan cadangan tujuh pembaharuan untuk mendapatkan sokongan pembangkang, dalam usaha terakhir mengekalkan kerajaan menjelang undi percaya di Parlimen bulan depan.
Tawaran itu mereka tolak dan Muhyiddin letak jawatan tiga hari kemudian.
Antara cadangan reformasi yang Muhyiddin tawarkan termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal, memperkenalkan undang-undang antilompat parti, serta mengurangkan umur layak mengundi kepada 18 tahun.
Beliau juga mencadangkan peruntukan sekata untuk semua ahli parlimen dan menambah had siling dana Covid-19 kepada RM45 bilion menjadi RM110 bilion.
Muhyiddin juga menjanjikan reformasi Parlimen iaitu rundingan awal dengan pembangkang sebelum pembentangan sesuatu rang undang-undang, melantik lebih ramai wakil pembangkang dalam jawatankuasa pilihan, dan menjadikan jawatan ketua pembangkang bertaraf menteri.
Ketua publisiti DAP Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Damansara memberitahu sebuah forum dalam talian pada Jumaat, PH “sedia” membuat perjanjian dengan kerajaan.
Lima hari selepas mengangkat sumpah jawatan perdana menteri, Ismail Sabri menjemput tiga ketua parti dalam PH – Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng – berbincang mengenai ruang kerjasama untuk rakyat.
“Saya percaya kerana pengumuman perdana menteri baru-baru ini bila menandatangani persefahaman antara tiga parti, ini menunjukkan mereka menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong,” tambah Hamzah.
Ismail Sabri sebelum itu mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara dalam talian untuk mesyuarat rutin sebelum perdana menteri mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri.
Majlis mengadap berlangsung 30 minit bermula 8.30 pagi, kata Istana Negara. – 1 September, 2021.