Iklan

Peserta MM2H dalam negara jangan bimbang, kata Hamzah

Mohd Farhan Darwis3 years ago1st Sep 2021Berita
Kdn press conference september 01, 2021 afif 05
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin beri jaminan semua kedudukan peserta MM2H akan diteliti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 1 September, 2021.
Iklan

MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainuddin memberi jaminan peserta Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang berada di dalam negara tidak bimbang dengan peraturan baharu program itu.

Hamzah berkata beliau memberi jaminan pihaknya meneliti keadaan setiap peserta MM2H.

“Saya sebagai menteri bersedia melihat kepada mereka yang sudah berdaftar dan ada dalam negara kita.

“Saya inginkan umumkan kepada semua jangan risau atau jangan rasa terganggu kerana kedudukan mereka yang berdaftar menjadi peserta dalam negara kita hanya 28,000,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ahli Parlimen Larut itu berkata daripada keseluruhan 57,478 peserta MM2H, kira-kira 8,000 tidak pernah bermastautin di negara ini.

Katanya, jumlah sebenar yang berdaftar adalah 28,249 prinsipal dengan tanggungan seramai 28,229.

Daripada jumlah itu, katanya hanya 10,000 peserta yang membeli aset.

“Kalau kita rasa seolah-olah mereka ada pinjaman atau simpanan yang besar dalam negara kita jadi saya akan melihat semula kedudukan mereka yang sudah menyertainya sebab ada peringkat umur yang akan kita lihat semula,” katanya.

Hamzah berkata kerajaan juga harus mempertimbangkan kedudukan peserta bagi membolehkan kerajaan menerima hasil setimpal dengan subsidi yang diberikan.

“Kita berikan subsidi minyak petrol, gula, gas, banyak lagi subsidi. Maka peluang orang yang tinggal dalam negara kita ini sebenarnya kalau hanya ada pendapatan agak sedikit mereka lebih untung.

“Jadi yang kita mahu mereka dapat membantu kita untuk menjana ekonomi dalam negara maka sebab itu kita akan lihat imbangan antara membantu mereka dan menjana ekonomi negara.

“Itu yang kita fikirkan bersama dan saya ingin maklumkan janganlah kita melihat dari satu sudut semata-mata,” katanya.

Peserta program MM2H hanya ditetapkan 1% daripada populasi penduduk negara ini.

Selain itu, Hamzah berkata peraturan berkaitan pendapatan peserta juga ditetapkan 20 tahun lalu.

“Contohnya apabila kita umumkan kedudukan pendapatan ia bermula dari 2002, sekarang hampir 20 tahun kita tidak tukar daripada segi kedudukan kriteria tersebut.

“Oleh itu kita mengumumkan kriteria lebih baik untuk masa depan kita bersama,” katanya.

Antara syarat baharu yang ditetapkan ialah peserta perlu membuktikan pemilikan aset cair berjumlah RM500,000 hingga RM1.5 juta bergantung kepada usia mereka.

Selain itu, peserta perlu memiliki pendapatan bulanan luar pesisir sekurang-kurangnya RM40,000 dan perlu berada dalam negara sekurang-kurangnya 90 hari setiap tahun. – 1 September, 2021.

Iklan
Iklan