Belum terlambat selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat, kata ahli Parlimen Klang
Iklan
PENGUNDI di Selangor mungkin tidak akan memilih Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang berikutan keputusan kerajaan negeri untuk menyahwarta sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk pembangunan komersial, kata Charles Santiago.
Bagaimanapun kata ahli Parlimen Klang masih belum terlambat untuk kerajaan negeri yang diterajui PH menarik balik keputusan itu.
“Sudah tentu, ini adalah sumber pertikaian utama. Saya ingin percaya bahawa PH terbuka terhadap idea dan pandangan alternatif yang berbeza termasuk menarik balik keputusan yang dibuat,” katanya pada sidang media dalam talian yang diadakan dengan bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).
Menurutnya, beliau juga akan cuba mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Amirudin Shari berhubung perkara itu.
Tambahnya beliau juga akan mengadakan lawatan ke Kuala Langat untuk berbincang dengan masyarakat Orang Asli yang tinggal berhampiran kawasan hutan berkenaan.
“Ada yang mencadangkan untuk melihat kesahihannya dan mungkin ada cabaran undang-undang.
“Kami belum membuat keputusan tetapi itu adalah sesuatu yang telah dibangkitkan oleh mantan pesuruhjaya (Span),” katanya.
Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri untuk menyediakan laporan penilaian impak alam sekitar, kajian kebolehlaksanaan, analisis biaya-manfaat dan penilaian impak hak asasi manusia terhadap mata pencarian dan hak Orang Asli. – 1 September, 2021.
Berita penuh di sini.