Kekal kerjasama dengan Umno, Bersatu, kata PAS
Iklan
PAS mahu kerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional serta dengan parti Bersatu melalui Perikatan Nasional kekal dalam pilihan raya umum akan datang, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan presiden PAS itu berkata demikian ketika ditanya hala tuju PAS pada masa hadapan memandangkan Umno sudahpun menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.
“Kerajaan yang ada sekarang ada gabungan tiga parti dan kita harap ia kekal untuk kita menghadapi PRU15,” kata Tuan Ibrahim ketika ditanya dalam sidang media.
Tambahnya, PAS juga akan bermesyuarat dalam masa terdekat dengan Umno untuk membincangkan kedudukan dan hala tuju gabungan itu, katanya.
Beliau juga berkata pemimpin kedua-dua parti sering berhubung walaupun tidak secara rasmi melalui Muafakat Nasional.
“Mesyuarat buat masa ini belum. Kita belum jalan lagi (mesyuarat rasmi Muafakat Nasional).
“Biasanya kita banyak ada pertemuan secara online sebab Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19, tapi hubungan itu terus berjalan.
“Kita selalu berhubung dengan pimpinan Umno, mereka selalu datang berjumpa dan adakan perbincangan.
“Cuma mesyuarat rasmi MN dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat tapi masih belum ada tarikh,” katanya kepada media di Kuala Terengganu hari ini.
Beliau ditanya demikian memandangkan terdapat pemimpin Umno seperti di Kelantan menyatakan kerjasama dengan PAS sudahpun berkubur.
MN dibentuk lebih awal pada September 2019 selepas Barisan Nasional Umno kalah dalam PRU-14.
Gabungan itu merupakan kerjasama antara dua parti bagi menghadapi PRU15 dan Perikatan Nasional antara PAS, Umno Bersatu ditubuhkan kemudiannya.
Perhimpunan Agung Umno pada akhir Mac kemudian menolak kerjasama dengan parti pimpinan Muhyiddin, Bersatu, bagi pilihan raya umum akan datang.
Umno juga menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional dan hanya akan bertanding dengan lambang Barisan Nasional.
Parti itu seterusnya menarik sokongan ke atas Muhyiddin Yassin pada bulan lalu dan menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional tumbang.
Ia membolehkan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi perdana menteri kesembilan. – 2 September, 2021.