Iklan

Menteri nafi lombong pasir di Sg Terengganu punca bekalan air putus

Diyana Ibrahim3 years ago2nd Sep 2021Berita
Tuan yem
Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kejadian paip pecah baru berlaku sedangkan perlombongan pasir sudah lama dijalankan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2021.
Iklan

MENTERI Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan aktiviti lombong pasir menyebabkan paip pecah di Sungai Terengganu dan 150,000 pengguna putus bekalan air mentah.

Beliau menolak andaian itu dan memberi alasan, kejadian paip pecah baru berlaku sedangkan perlombongan pasir sudah lama dijalankan.

“Saya tengok tidak sebab kedudukan (paip) di peringkat awal tidak begitu. Paip pecah baru berlaku manakala lesen pasir itu dah lama dikeluarkan.

“Sebagaimana saya sebut tadi pergerakan pasir itu sendiri akan ambil masa panjang kesannya bukan sekarang,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu selepas meninjau lokasi paip pecah itu.

Beliau juga menolak kemungkinan kerajaan negeri terlepas pandang dalam kelulusan pemberian lesen kepada syarikat lombong pasir hingga menyebabkan masalah tersebut berlaku.

Bagaimanapun kaitan itu tetap disiasat, katanya yang berkata kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat punca kejadian paip air pecah di dasar Sungai Terengganu.

Ditanya lanjut sekiranya tindakan akan diambil ke atas syarikat melanggar peraturan tersebut beliau berkata penguatkuasaan itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan kerajaan pusat.

Katanya kementerian juga akan menambah baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan) 2020 sebagai langkah menangani isu aktiviti korek pasir tidak terkawal.

Sabtu lepas, jawatankuasa khas siasatan krisiss air di negeri itu berkata akan menyerahkan laporan kejadian tersebut kepada kerajaan negeri pada pertengahan bulan ini.

Kaitan perlombongan pasir itu dibangkitkan penduduk Kampung Sekati di Kuala Terengganu yang sudah lama mendakwa ia mengancam jajaran paip di dasar sungai dan juga menghakis tanah.

Mereka mendakwa, perkara itu menyebabkan bekalan air putus dua kali sehingga hampir dua minggu di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Walaupun sudah banyak kali diadu, mereka tidak nampak sebarang tindakan diambil ke atas projek perlombongan yang berlangsung sejak lima tahun lalu. – 2 September, 2021.

Iklan
Iklan