Pakar ekonomi beri pandangan berbeza Kabinet 'kitar semula'
Iklan
PAKAR ekonomi memberi pandangan berbeza mengenai Kabinet “kitar semula” yang dilantik oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dengan beberapa daripadanya berkata pemulihan dan pertumbuhan ekonomi perlu diukur oleh kemampuan kerajaan baharu untuk menangani wabak Covid-19 di Malaysia, dan bukannya komposisi Kabinet.
Mereka berbelah-bahagi mengenai apakah komposisi Kabinet baharu harus dipuji atau dikritik. Walaupun ada yang memandang persamaan barisan menteri sebagai tanda kesinambungan, yang lain ragu-ragu dengan niat dan kecekapan kerajaanmenyelesaikan krisis ekonomi yang dihadapi oleh rakyat.
Menurut Profesor Madya Dr Shri Dewi Applanaidu, pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai menteri kesihatan adalah satu daripada kemuncak barisan Kabinet baharu Ismail Sabri, kerana bekas menteri sains, teknologi dan inovasi itu berjaya membuktikan dirinya sebagai penyelaras program vaksinasi kebangsaan.
Ahli akademik dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menyebut pelantikan Khairy sebagai “langkah cemerlang” yang akan membantu Putrajaya lebih fokus dan cekap dalam memerangi virus tersebut.
“Imuniti kelompok boleh dicapai dengan kadar jauh lebih cepat yang akan membolehkan sektor ekonomi dibuka semula, menyumbang secara signifikan kepada pemulihan ekonomi,” kata Shri.
Khairy akan terus menangani semua perkara berkaitan dengan vaksinasi, yang baru-baru ini diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, menurut perdana menteri.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pulau Pinang Dr Lim Kim Hwa berkata, komposisi Kabinet baharu tidak mungkin mempengaruhi pertumbuhan ekonomi jangka pendek.
“Ia akan didorong oleh kemampuan untuk mengendalikan pandemik dan kegiatan ekonomi dilanjutkan dengan cara yang adil.
“(Pertumbuhan juga akan ditentukan oleh) faktor permintaan luaran seperti harga minyak dan kemampuan hidup dengan virus, kerana tidak mungkin ia dapat dihapuskan sepenuhnya,” katanya.
Pakar ekonomi Universiti Malaya (UM) Prof Dr Rajah Rasiah juga bersetuju yang fokus perlu diberikan untuk menurunkan jumlah jangkitan dan kematian Covid-19.
Rajah berkata Putrajaya harus lebih fokus pada kadar positif virus dan meningkatkan ujian Covid-19.
Beliau menambah yang negara ini kalah dalam pertempuran melawan koronavirus kerana prosedur dan peraturan operasi standard yang tidak difikir dengan baik.
“Mengapa ada keperluan melarang perkhidmatan tidak penting jika ia tidak secara langsung menjejaskan pandemik?
“Ia menjadi masalah kerana banyak perkhidmatan tidak penting sebenarnya berfungsi sebagai input untuk perkhidmatan penting,” katanya.
“Walaupun kita mengambil pendirian ‘hidup dengan virus’ pada masa depan seperti dilakukan beberapa negara sekarang, ini hanya dapat diambil serius apabila kes dan kematian turun di bawah ambang batas tertentu,” katanya, merujuk pada pendirian kerajaan mengenai keendemikan Covid-19. – 3 September, 2021.
Berita penuh di sini