Iklan

Ahli Parlimen sukar tolak undang-undang antilompat parti, kata penganalisis

Chan Kok Leong3 years ago4th Sep 2021Berita
51396040127 a4aa847dbe o
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mungkin memeterai CSRA bersama PH bagi mengelak berlaku krisis kepercayaan terhadapnya di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2021.
Iklan

PERJANJIAN Kepercayaan, Perbekalan dan Reformasi (CSRA) antara kerajaan baharu dan Pakatan Harapan (PH) kemungkinan besar akan terlaksana jika kedua-dua pihak bersetuju untuk menggubal undang-undang anti lompat parti, kata penganalisis.

Melihat kepada keadaan ketidakstabilan politik yang berlaku sejak tahun lalu, pensyarah Universiti Malaya Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi percaya sukar untuk ahli politik menolak undang-undang itu.

“Parti akan berdepan kecaman jika mereka enggan bergerak seiring dengan masa untuk mewujudkan persekitaran politik yang lebih stabil,” katanya.

Awang Azman yang juga dari jabatan pengajian Melayu berkata negara ini mengalami tiga kali pertukaran perdana menteri sejak 2018 dan keadaan itu tidak membantu, terutama ketika berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Dan kebanyakan masalah ini berlaku disebabkan ahli Parlimen bertukar parti di pertengahan jalan,” katanya.

Malaysia bertukar perdana menteri sebanyak tiga kali selain beberapa perubahan dalam kerajaan persekutuan dan negeri sejak 2018, apabila wakil rakyat melompat parti selepas pilihan raya umum (PRU).

Kesan daripada pembelotan itu, negara ini mengalami pertukaran perdana menteri sejak selepas PRU pada 2018, daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Muhyiddin Yassin selepas kerajaan PH digulingkan pada Februari 2020 apabila 25 wakil rakyat keluar parti iaitu ahli Parlimen Umno (15) dan PKR (10).

Keruntuhan PH di peringkatn kerajaan persekutuan kemudian dengan pantas menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri di Kedah, Perak, Melaka dan Johor.

Susulan itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu kemudian mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu selepas mendorong 13 Adun daripada pelbagai parti menarik sokongan mereka daripada kerajaan negeri Warisan.

Walaupun PN berjaya menawan Sabah menerui PRN itu, pentadbiran Muhyiddin tidak lama dan beliau terpaksa meletak jawatan bulan lalu selepas hilang sokongan 14 ahli Parlimen Umno.

Susulan peletakan jawatannya, PN, Barisan Nasional, GPS dan beberapa ahli Parlimen bebas memilih Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi perdana menteri berikutnya.

Naib Presiden PKR Chang Lih Kang berkata punca kepada situasi politik yang tidak stabil adalah kerana amalan lompat parti yang tidak dicegah.

“Wakil rakyat hanya perlu tukar parti untuk beralih daripada pembangkang ke kerajaan, walaupun ia mungkin bertentangan dengan kemahuan pengundi ketika PRU.

“Akhirnya pengundi yang akan tertipu kerana keputusan pilihan raya itu tidak muktamad.

“Maka, kita sangat memerlukan mekanisme anti lompat parti untuk meraih semula keyakinan pengundi dalam sistem demokrasi. Kalau tidak, rakyat tidak akan mahu keluar mengundi lagi pada PRU akan datang.

“Jumlah sedikit mereka yang keluar mengundi akan menjejaskan keabsahan kerajaan, tidak kiralah anda di belah yang mana,” kata ahli Parlimen Tanjung Malim itu.

Pensyarah sains politik dari Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia juga yakin ahli Parlimen akan bersetuju dengan kewujudan mekanisne menghalang lompat parti.

“Umno dan PH paling teruk terkena dan mereka tentu mahu undang-undang seumpama itu,” katanya.

“Walaupun akan ada parti yang mungkin tidak menyokongnya, Umno dan PH sendiri sudah cukup untuk undi meluluskan rang undang-undnag berkenaan.”

Antara yang memberi sokongan kepada mekanisme anti lompat parti adalah bekas perdana menteri Najib Razak, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dan bekas timbalan yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said.

BN yang terdiri daripada Umno (38), MCA (2), MIC (1) dan PBRS (1), mempunyai 42 ahli Parlimen sementara PH ada 89. PH terdiri daripada DAP (42), PKR (35), Amanah (11) dan Upko (1). Kedua-dua gabungan itu membentuk 121 ahli Parlimen dalam 220 kerusi di Dewan Rakyat.

Ismail Sabri dilaporkan sudah memulakan perbincangan dengan PH selepas pertemuannya dengan Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng minggu lalu.

Walaupun Ismail Sabri daripada Umno, beliau dipercayai melihat kemungkinan untuk memeterai CSRA bersama PH bagi mengelak kehilangan kepercayaan seperti Muhyiddin. Hanya tiga hari sebelum meletak jawatan, Muhyiddin turut menawarkan perjanjian serupa kepada pembangkang, tetapi ditolak. – 4 September, 2021.

Iklan
Iklan