Iklan

Biar krisis Covid-19 pulih sebelum pilihan raya, kata Pemuda Umno

Diyana Ibrahim3 years ago3rd Sep 2021Berita
Asyraf
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata isu pilihan raya langsung tidak disentuh semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno minggu lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2021.
Iklan

PILIHAN raya umum tidak dapat dielakkan lagi tetapi ia hanya wajar dilakukan selepas keadaan negara pulih dari pandemik Covid-19, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, Umno juga mengutamakan usaha menangani krisis Covid-19 dan mengeluarkan rakyat dari kesusahan akibat kesan ekonomi berbanding mengadakan pilihan raya umum.

“Sebenarnya kita tak banyak pilihan kecuali serah kembali mandat kepada rakyat kerana dari dulu kita pernah cakap kerajaan yang ada tidak mendapat mandat dari  rakyat.

“Jadi mahu tak mahu kita kena adakan pilihan raya.

“Tapi biarlah kerajaan selesaikan dulu isu rakyat dalam tempoh masa tertentu ini dan keadaan reda. Memang kita tak ada pilihan dan perlu kembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.

Tambahnya, isu pilihan raya juga langsung tidak disentuh semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno minggu lalu.

“Yang kita bincang bagaimana nak selesaikan isu Covid-19 dan keluarkan rakyat dari kesusahan,” katanya kepada pemberita di Kuala Nerus, Terengganu.

Beliau tampil dalam satu program mengagihkan bantuan air kepada penduduk tersebut yang terputus bekalan selama lebih dua minggu.

Mesyuarat MKT tersebut merupakan pertemuan pertama selepas Umno kembali menguasai kerajaan dengan pelantikan naib presidennya Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

Umno berjaya menguasai semula Putrajaya minggu lalu dan membentuk kerajaan dengan majoriti tipis selepas berjaya menggulingkan perdana menteri kelapan Muhyiddin Yassin.

Sejak mengambil alih pentadbiran pada Februari 2020, Muhyiddin yang juga menguasai majoriti tipis berulang kali memberi jaminan akan mengadakan pilihan raya semula.

Pilihan raya tersebut bagaimanapun tetap tidak diadakan ekoran kelemahan pentadbirannya yang menyebabkan kadar jangkitan Covid-19 semakin buruk dan mengorbankan ribuan nyawa. – 3 September, 2021.

Iklan
Iklan