Empangan Nenggiri akan musnah kehidupan, identiti Orang Asli, kata aktivis
Iklan
ORANG Asli akan menanggung kerugian besar akibat pembinaan empangan hidroelektrik baharu di Gua Musang yang bakal menenggelamkan 5,384 hektar hutan dan tanah adat, kata aktivis.
Mereka membangkitkan, selain kemusnahan hutan yang menjadi sumber kehidupan mereka, empangan di Sungai Nenggiri itu juga akan melenyapkan identiti komuniti tersebut.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Along berkata ia termasuk artifak dan bukti penempatan asal, kubur nenek moyang dan perajurit mereka.
Katanya, mereka bukan etnik yang sengaja menolak pembangunan tetapi berbuat demikian kerana mereka sudahpun mengalami pengalaman buruk apabila dipindahkan untuk projek empangan.
“Kami mahu pembangunan dan kemodenan tetapi ia tidak patut dibayar dengan identiti diri orang asli. Identiti diri adalah sesuatu yang cukup mahal,” katanya dalam satu forum malam tadi.
Jelasnya, empangan itu meliputi kawasan seperti Gua Cha dan Gua Chawas dan kawasan berdekatan Pos Pulat yang mempunyai artifak dengan nilai sejarah penting komuniti suku Temiar.
“Kubur nenek moyang juga terletak di kawasan hutan ini termasuk tiga kubur perajurit orang asli yang terkorban ketika darurat dahulu juga bakal tenggelam di Kampung Wias,” katanya lagi.
Ia akan menenggelamkan Gua Keledung, Gua Cahaya, Gua Kecil, Gua Lubang Kelewar, Gua Perdang, Gua Rahmat, Gua Kemiri dan Gua Tok Batin, katanya.
Apabila tenggelam, seluruh bukti kewujudan kaum tersebut yang membentuk kronologi sejarah awal Kelantan itu akan lenyap, katanya dalam satu forum disiarkan langsung pada malam tadi.
“Sebanyak tiga penempatan Orang Asli akan tenggelam secara langsung iaitu Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Wias dan seramai 1,115 orang daripada 197 keluarga akan dipindahkan,” katanya.
Selain itu, sebanyak 18 kampung atau pos lain juga akan terjejas secara langsung atau sebaliknya kerana hutan rayau, tanah adat dan wilayahnya juga tenggelam, tambahnya.
Mustafa menjelaskan, kesan utama ia kemusnahan kawasan hutan, tanah adat dan wilayah yang menjadi punca bekalan air bersih dan juga makanan seperti melalui kegiatan memburu.
“Kawasan itu juga kami menuai ulam-ulaman serta tumbuhan hutan, sumber ubat-ubatan, bahan pembinaan rumah dan bahan untuk upacara adat serta budaya dan agama,” katanya.
Kumpulan masyarakat itu membuat laporan polis bagi menggesa semua kerja pembinaan empangan berkenaan yang dilaporkan akan bermula pada Mac 2022.
Proses pemindahan penduduk akan bermula pada tarikh tersebut dan dijangka akan selesai tahun 2025.
Mustafa bercakap dalam forum yang disiarkan langsung pada malam tadi di laman Facebook Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa). – 4 September, 2021.