Iklan

Empangan kecil di hilir Kelantan lebih baik, kata aktivis Orang Asli

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago4th Sep 2021Berita
49936698342 504f624719 c
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Along berkata, ini kerana masalah banjir dan kemarau berpunca dari pembalakan dan lombongan di hulu Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2021.
Iklan

KERAJAAN sepatutnya membina empangan lebih kecil di hilir Kelantan untuk menyelesaikan masalah banjir serta kemarau dan bukannya empangan besar seperti di Sungai Nenggiri, kata aktivis Orang Asli.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Along berkata, ini kerana masalah banjir dan kemarau berpunca dari pembalakan dan lombongan di hulu Kelantan.

“Ada pilihan lain iaitu membina empangan kecil di Tanah Merah, Machang dan Pasir Mas yang mampu menjana tenaga elektrik selain tidak mengancam alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan bantahan kumpulan masyarakat Orang Asli itu terhadap pembinaan empangan Nenggiri, salah satu daripada dua empangan yang bakal dibina.

Tambanya, mereka juga gusar kerana melihat projek pembinaan empangan hidroelektrik lain sebelum ini memberikan keuntungan kepada komuniti Orang Asli dan orang asal.

Selain itu, mereka bimbang kerana mendapat aduan penduduk bahawa proses rundingan, dialog dan rundingan tidak dijalankan dengan jujur, telus, adil dan menyeluruh.

“Ini kerana komuniti hanya diberikan sisi pandangan yang positif tentang manfaat pembinaan empangan, tetapi kesan-kesan negatif dan risiko pembinaan empangan tidak ditekankan.

“Ini membuatkan sebahagian komuniti yang tidak berpengalaman dan berpengetahuan tentang selok-belok teknikal sukar untuk menilai dan membuat keputusan secara adil dan matang,” katanya.

Pada masa ini, Kelantan hanya memiliki sebuah empangan hidroelektrik – empangan Pergau merentasi Sungai Pergau di Jeli.

Selepas banjir besar pada 2014, kerajan pada tahun berikutnya mengumumkan pembinaan empangan Nenggiri dan satu lagi empangan di Lebir dalam projek Rancangan Tebatan Banjir.

Tiga perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan akan dipindahkan apabila projek empangan hidroelektrik Nenggiri dimulakan pada Mac 2022. – Gambar Facebook, 17 Februari, 2021.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata JKOAK juga menolak tawaran pampasan dari kerajaan negeri Kelantan kepada penduduk kampung yang terlibat dengan projek tersebut.

Mereka menyifatkan pampasan yang ditawarkan itu tidak memadai kerana hanya melibatkan tanaman yang bakal musnah tanpa mengambil kira pampasan ke atas tanah adat.

Katanya, setiap keluarga kini hanya ditawarkan pampasan dalam bentuk enam ekar kebun getah, setengah ekar lot rumah dan elaun 48 bulan selain kemudahan air, elektrik dan jalan tar.

Ia melibatkan penduduk di tiga kampung yang bakal ditenggelamkan iaitu Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Wias yang turut diberi kebebasan memilih kawasan penempatan baharu.

Tambahnya, ia antara perkara utama yang ditegaskan dalam petisyen ditandatangani lebih 3,000 anggota masyarakat tersebut yang sudahpun dikemukakan kepada kerajaan negeri.

Pampasan itu diumumkan oleh exco hal ehwal kerja raya Kelantan, Azami Mohd Nor yang turut menawarkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat Orang Asli yang terjejas.

Kumpulan masyarakat itu juga membuat laporan polis bagi menggesa semua kerja pembinaan empangan berkenaan yang dilaporkan akan bermula pada Mac 2022.

Proses pemindahan penduduk akan bermula pada tarikh tersebut dan dijangka akan selesai tahun 2025.

Forum pada malam tadi disiarkan secara langsung di lama Facebook Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa). – 4 September, 2021.

Iklan
Iklan